April 29, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa jurusan Pengurusan Teknologi dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Siti Nur Aishah Binti Md Yasin telah dilantik sebagai Duta Perpaduan Johor oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Johor (JPNIN Johor) di Hotel RAMADA, Iskandar Puteri Johor.

Saudari Aishah telah mendapat perlantikan Duta Perpaduan itu ekoran daripada kejayaan beliau sebagai pengarah program yang telah berjaya menjalankan Webinar Perpaduan : Rukun Negara Sebagai Ideologi Kebangsaan dengan mendapat tontonan hampir 6000 orang yang terdiri daripada mahasiswa IPT, masyarakat dan pegawai Jabatan Perpaduan Negeri serta Kementerian Perpaduan Malaysia.

Poster Webinar Perpaduan : Rukun Negara Sebagai Ideologi Kebangsaan yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Haji Hasni Bin Mohammad, Menteri Besar Johor.

Perlantikan Duta Perpaduan ini turut diberikan kepada beberapa ahli Sekretariat Rukun Negara UTM yang turut terlibat dalam perlaksanaan webinar tersebut. Aishah Yasin yang mewakili SRN UTM serta beberapa lagi mahasiswa daripada UniKL MITEC Johor Bahru telah menghadirkan diri di Hotel RAMADA, Iskandar Puteri Johor bagi mendapatkan perlantikan tersebut.

Duta Perpaduan Johor yang dipilih dalam kalangan mahasiswa ini adalah bertujuan untuk menjadikan mahasiswa sebagai contoh dan teladan yang membawa elemen perpaduan dimana-mana sahaja mereka berada.

Dengan pelantikan tersebut, beliau telah menerima sijil perlantikan dan pingat Duta Perpaduan Johor yang disampaikan oleh Exco Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, YB. Dr Chong Fat Full.

Sijil Perlantikan dan Pingat Duta Perpaduan Johor yang diterima oleh Saudari Aishah Yasin oleh Exco Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, YB. Dr Chong Fat Full.

Majlis Perlantikan ini turut menghimpunkan kira-kira 200 tetamu yang terdiri dalam kalangan mahasiswa, Ahli Rukun Tetangga, Pegawai TABIKA dan Pegawai Perpaduan Negeri Johor.

Saudari Aishah Yasin, 22 yang merupakan Timbalan Presiden Sekretariat Rukun Negara UTM amat bersyukur di atas pelantikan ini dan berterima kasih kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa memberikan sokongan dan doa kepada beliau serta kepada pihak UTM terutamanya Penasihat Sekretariat Rukun Negara UTM, Encik Haironizam Bin Mohamad yang telah mencungkil dan mengasah bakat kepimpinan beliau sehingga berjaya mendapat pelantikan Duta Perpaduan Johor.

Aishah Yasin (kiri) Bersama En. Haironizam, Penasihat SRN UTM, Puan Aisyah Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Johor dan Dua Mahasiswa yang Menerima Perlantikan Duta Perpaduan Johor di Hotel RAMADA Iskandar Puteri.

Saudari Aishah ini juga merupakan Majlis Tertinggi SRN UTM yang sangat aktif dalam menjalankan pelbagai program berimpak tinggi yang berunsurkan perpaduan bukan sahaja memfokuskan kepada mahasiswa namun turut memberi impak kepada masyarakat.

Explore More