April 29, 2024

Search
Close this search box.

Inisiatif “Food Bank KTHO” Bukti UTM Terus Cakna Bantu Mahasiswa B40

JOHOR BAHRU,12 Jan. – Dalam mengejar kecemerlangan di bidang penyelidikan dan pengajaran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tetap tidak melupakan kebajikan dan kesejahteraan warganya, terutama bagi mahasiswa yang menetap di dalam kampus.

Bagi memastikan mahasiswa tidak mengikat perut, Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP) telah melancarkan Food Bank KTHO” dengan harapan inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mahasiswa yang kurang berkemampuan terutama yang datang daripada latar belakang keluarga berpendapatan B40.

Program ini turut mensasarkan mahasiswa UTM yang mungkin telah kehabisan wang pinjaman atau biasiswa menjelang minggu-minggu akhir sebelum mereka menduduki peperiksaan akhir semester.

Poster Hebahan program Food Bank KTHO

Inisiatif “Food Bank KTHO” berjaya direalisasikan hasil daripada peruntukan JTNCHEP dan Pejabat KTHO, di samping sumbangan daripada warga KTHO sendiri, sekali gus menunjukkan bahawa warga UTM berjaya menjiwai salah satu nilai teras universiti, iaitu sinergi dalam memupuk semangat berpasukan, kerjasama serta sikap ambil peduli antara satu sama lain.

Food Bank ini telah ditempatkan di lokasi yang strategik di Blok L01 KTHO bagi memudahkan akses mahasiswa untuk mendapatkan keperluan makanan berupa biskut, mi segera, air kotak dan air mineral.

Perasmian Food Bank KTHO telah disempurnakan oleh En. Shamsul Azli bin Shamsuray, selaku Felow Penasihat Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan JKM KTHO, mewakili Pengetua KTHO, Dr. Norahim bin Ibrahim.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung

Inisiatif Food Bank KTHO juga ditambah baik dengan mewujudkan sistem imbasan kod QR, yang secara tidak langsung membantu JKM KTHO dalam mengenalpasti kekerapan mahasiswa mendapatkan bantuan, di samping mendapatkan maklum balas daripada warga KTHO mengenai keperluan makanan kering yang diperlukan terutama menjelang minggu-minggu peperiksaan akhir semester.

Data yang diperoleh dilihat amat signifikan dalam membantu pengurusan KTHO untuk bersedia dengan bekalan makanan kering yang mencukupi di stesen Food Bank, memandangkan UTM dijangka akan menerima kepulangan lebih ramai mahasiswa pada semester akan datang.

Kod QR disediakan bagi tujuan merekod data dan maklum balas pelajar

Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan JKM KTHO merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JTNCHEP, Pengurusan KTHO, Majlis Felow Merbauan (MAFAN) dan warga KTHO yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan inisiatif murni ini. Semoga inisiatif ini dapat dikekalkan dan diteruskan pada masa-masa akan datang, sekali gus memperkasakan imej UTM selaku universiti berkebajikan.

Sementara itu, pengurusan KTHO menerusi En. Roslan bin Abd. Ghani, selaku Penolong Pegawai Tadbir Kanan KTHO menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan inisiatif ini, demi memastikan kebajikan mahasiswa KTHO sentiasa diambil berat.

Malah, tambah beliau, inisiatif ini boleh diperkasakan dengan penambahan lebih banyak stesen Food Bank di sekitar blok-blok kediaman mahasiswa bagi memudahkan dan memendekkan lagi capaian warga KTHO untuk mendapatkan keperluan makanan pada masa-masa yang terdesak.


Disediakan oleh: Muhammad Imran Safwan Bin Jeffiry (Rakan Biro Kebajikan & Kemasyarakatan JKM KTHO) & Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Penyunting Penerbitan Media KTHO)

Explore More