April 28, 2024

Search
Close this search box.

Kecemerlangan menjadi satu dambaan buat para insan yang mahukan satu kehidupan yang bermakna.

Bagi insan yang suka membuat kerja berkualiti tinggi, komited kepada penambahbaikan berterusan dan tidak pernah putus asa, kecemerlangan menjadi satu matlamat bagi membolehkan tercapainya tujuan kehidupan, seperti kerjaya yang mekar membangun atau keluarga yang harmoni dan sejahtera.

Dalam memacu kecemerlangan, adanya aspek yang lebih asas atau fundamental.

Asas yang perlu ada ialah memperkasa komitmen atau kata sinonimnya iltizam. Dalam Al-Quran surah Ali Imran ayat 159, Allah swt berfirman dengan maksudnya:

“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”

(Surah Ali-Imran: 159)

Pelaung keramat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), “Kerana Tuhan Untuk Manusia” cukup menggambarkan makna Rabbani (Ketuhanan) yang kuat dalam dasar-dasar universiti.

Kecemerlangan yang ditunjangkan komitmen terhadap pekerjaan kerana Tuhan adalah kecemerlangan hakiki yang Tuhan Semesta Alam mahukan dari sekalian insan.

Warga UTM khasnya amat bertuah kerana pelaung keramat universiti ini cukup baik dan berguna sebagai kompas pekerjaan. Pekerjaan yang didasarkan komitmen kukuh kepada tugasan hakiki, dengan nawaitu kerana-Nya, bukan kerana tujuan mengejar pangkat atau kedudukan, menjadi pekerjaan yang diberkati oleh-Nya.

Amanat Tahun Baru 20222 oleh Yang Berbahagia Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, sarat dengan mesej untuk memacu kecemerlangan melalui pemerkasaan komitmen, bertunjangkan motto universiti, “Kerana Tuhan Untuk Manusia”.

Ucapan Naib Canselor UTM tepat pada masanya kerana kita dapat belajar bahawa pandemik COVID-19 yang berlaku semenjak Mac 2020 telah mengajar kita untuk memperkasa komitmen kita, walau apapun situasi yang melanda negara dan dunia.

Kita tetap teguh menjalankan tugas hakiki kita meski kita terhambat dengan cabaran pandemik ini yang belum pulih sepenuhnya.

Kita tetap percaya bahawa segala apa yang terjadi saat pandemik ini tidak melunturkan iltizam kita menyumbang yang terbaik buat universiti, masyarakat, negara dan dunia.

Apa yang kita perlukan kini ialah mencari makna terbaik dalam pekerjaan dan kehidupan kita.

Mengembalikan kehidupan kita kepada nilai-nilai murni, seperti berintegriti tinggi menjalankan amanah pekerjaan dan bersikap terbuka untuk memperbaiki mutu kerja kita, adalah usaha penting untuk kita berada pada landasan kecemerlangan yang tepat

Kita tidak boleh mengejar kecemerlangan dengan meninggalkan nilai-nilai murni sebegitu, apatah lagi UTM sudah meletakkan empat nilai teras iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan, dan Kelestarian.

Peminggiran nilai-nilai ini tidak membawa erti kepada usaha kita memacu kecemerlangan kerana kita tidak mengikut acuan kecemerlangan dengan nilai-nilai Rabbani sebegitu.

UTM ialah universiti yang amat jelas dengan nilai kecemerlangan berpaksikan komitmen berterusan kepada pekerjaan bertunjangkan nilai-nilai Rabbani. Sudah cukup slogan UTM “Kerana Tuhan Untuk Manusia” untuk kita renungi sedalam-dalamnya.

Kini adalah masa menterjemah slogan ini kepada pekerjaan kita. Penterjemahan ini akhirnya membawa kita kepada kecemerlangan yang didambakan, dengan memperkuat iltizam kita membangun negara dan dunia serta mencipta impak nyata kepada kehidupan rakyat yang sejahtera.

Semua warga UTM diajak bersama-sama memacu kecemerlangan, tanpa rasa lelah apatah lagi berputus asa.

Ayuh, bersama-sama kita memperkasa komitmen kita dalam pekerjaan, dengan terus belajar dan mengamalkan cara kerja berkualiti tinggi, agar padanya kita tercurah limpahan rahmat dari-Nya. Insha-Allah.

Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia

Explore More