Revolusi sistem pendidikan daripada pendidikan konvensional kepada pendidikan digital semakin diperkasa dan diperhebat seiring dengan ledakan teknologi digital dan media interaktif.
Menyedari bahawa mahasiswa perlu didedahkan dan seterusnya dilengkapkan dengan kemahiran penggunaan media interaktif, Biro Pendidikan dan Penyelidikan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan pertandingan Vlog bertemakan “Kehidupan sebagai Pelajar di UTM”.
Pertandingan ini telah memberi peluang keemasan kepada mahasiswa UTM terutama warga KTHO untuk menonjolkan bakat terpendam mereka dalam bidang media interaktif, terutama daripada aspek kemahiran merakam dan menyunting video pendek.
Bukan itu sahaja, pertandingan ini juga memberi kesempatan kepada mahasiswa untuk merakam memori-memori manis dan detik-detik indah sepanjang menjalani liku-liku kehidupan di dalam kampus, sekali gus membawa seribu kenangan yang akan sentiasa tersemat di sanubari.
Jawatankuasa penganjur telah menerima penyertaan enam vlog daripada warga KTHO. Proses penilaian dan penjurian dilaksanakan dengan penglibatan Felow Penasihat Biro, En. Azizul Bin Azman, Pembantu Felow Penasihat Biro, En. Mohd Amirul Mukminin Bin Latirin dan ahli Biro Pendidikan dan Penyelidikan JKM KTHO sebagai panel juri.
Berdasarkan proses penilaian dan penjurian yang telah dilaksanakan, panel juri telah sepakat menobatkan saudari Nur Farah Elenna Binti Kamaruzaman sebagai johan pertandingan, manakala saudari Kok Jia Yan dan saudari Lee Jing Ying, masing-masing diisytihar sebagai naib johan dan pemenang tempat ketiga.
Johan pertandingan mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM150 dan sijil penyertaan, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM100 dan RM50, beserta sijil penyertaan.
Biro Pendidikan dan Penyelidikan JKM KTHO berharap pertandingan ini telah memberi impak yang positif kepada mahasiswa UTM terutama warga KTHO dalam meningkatkan kemahiran teknikal media digital dan interaktif, bertepatan dengan hasrat UTM untuk menjadikan mahasiswa lebih kompeten dengan kemahiran-kemahiran di luar bidang pembelajaran, sekali gus menyokong pelan strategik universiti dalam melahirkan graduan holistik yang berkualiti tinggi.
Disediakan oleh: Thulasi Subramani (JKM KTHO) dan Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Felow Penyunting KTHO)