Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Biro Kerohanian dan Sosial Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dan Majlis Felow Merbauan (MAFAN) telah menganjurkan program “Quran Time” menerusi aplikasi persidangan dalam talian Cisco Webex.
Inisiatif yang baik daripada Pusat Islam UTM ini dilihat mampu melonjakkan aspirasi mencintai Kalamullah dalam kalangan warga KTHO, terutama daripada aspek mempelajari hukum tajwid, seterusnya menelusuri dan mentadabbur tafsir ayat suci Al-Quran untuk dijadikan sebagai panduan.
Program yang baik ini telah mendapat penyertaan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 100 orang peserta.
Ia diserikan dengan kehadiran Ustaz Panji Alam Bin Mazhisham, Pegawai Hal Ehwal Pusat Islam UTM selaku penceramah jemputan.
Bermula tepat 9.30 malam , program ini membuka tirai dengan bacaan Surah Al-Mulk (ayat 1 sehingga 5), yang mana Ustaz Panji Alam memperdengarkan bacaan dengan tartil untuk diikuti oleh para peserta, ayat demi ayat.
Dalam aspek tajwid pula, antara hukum yang diulas dalam sesi kali ini ialah hukum mad aridh lissukun. Menurut Ustaz Panji Alam, sekiranya mad aridh lissukun dibaca dengan dua harakat pada ayat pertama, dua harakat tersebut juga perlulah diikuti pada ayat-ayat seterusnya yang mengandungi hukum mad aridh lissukun.
Uniknya “Quran Time” siri ini ialah apabila Ustaz Panji Alam turut mengulas mengenai fadhilat atau kebaikan buat sesiapa yang mengamalkan surah al-Mulk, sekali gus sedikit sebanyak dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan peserta untuk menjadikan surah ini sebagai satu rutin harian untuk dibaca dan diamalkan.
Antara kebaikan mengamalkan surah al-Mulk adalah dapat menghindarkan seseorang yang mengamalkannya daripada azab kubur serta memberi pengampunan kepada pembacanya berdasarkan hadis:
Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.”
(Riwayat Abu Dawud, Ahmad, at-Tirmizi, Riyadh as-Salihin oleh Imam Ahmad)
Sehubungan itu, diharapkan para peserta dapat memperoleh manfaat melalui perkongsian ilmu yang diberikan dan melihat program ini sebagai satu wadah untuk tetap istiqamah beramal dengan Al- Quran, sekali gus menjadikannya sebagai pedoman dalam kehidupan kita, sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Bacalah Al-Quran, maka sesungguhnya dia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”.
(HR: Sahih Muslim:1338)
Disediakan oleh: Muhamad Arshad Bin Abdul Suharto (Ketua Unit Multimedia dan Publisiti Program Quran Time), Mohd. Fadhtul Ikmal bin Misnal (felow penyunting KTHO).