November 22, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 21 Jan. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyantuni seramai kira-kira 50 keluarga pemandu teksi B40 di sekitar Lembah Klang dalam Majlis Penyerahan Bantuan Pemandu Teksi B40 Lembah Klang yang diadakan di Pusat Islam UTMKL.

Majlis yang bermula pada pukul 10.00 itu disempurnakan oleh Pro Naib Canselor UTMKL, Prof Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh disertai oleh komuniti pemandu teksi yang datang dari seluruh Lembah Klang.

Program tersebut merupakan susulan daripada program bantuan pemandu teksi yang dimulakan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTMKL pada tahun 2021 melalui kerjasama dengan Pejabat Endowmen UTM dan NGO Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU).

Kebanyakan dana yang dikumpulkan untuk merealisasikan program bantuan ini adalah daripada sumbangan warga UTM melalui aplikasi UTMSMART.

Kempen sumbangan dana bermula pada November 2021 dan berakhir pada Disember 2021 telah berjaya mengumpul sejumlah dana dan seterusnya menunjukkan keprihatinan warga UTM dalam program kemasyarakatan, sesuai dengan tagline “UTM Prihatin”.

Pada majlis penyerahan bantuan tersebut, Pengerusi PIKU, Puan Fatimah Zahra Zulkafli telah menzahirkan rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga kepada UTM atas kerjasama dan gerak kerja yang dilaksanakan. Ketua inisiatif program di UTM, Prof Madya Dr. Sheikh Ahmad Zaki Shaikh Salim selaku Pengarah Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTMKL, dalam ucapannya berharap agar kerjasama dapat diteruskan dan lebih banyak lagi program berbentuk kemasyarakatan dapat dijalankan. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Pengarah Pusat Islam UTMKL, Prof Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof dan Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Lembah Klang, Tuan Hj. Jamil Ahmad. Majlis telah dipengerusikan oleh En. Kamarul Azizi Kasiran dari Pejabat ABM UTMKL dan diberkati dengan bacaan doa pimpinan Ustaz Fadhil Noor Abd. Ghaffar dari Pusat Islam UTMKL. Majlis telah disempurnakan dengan aturcara perasmian dan penyerahan bantuan secara simbolik kepada 10 pemandu teksi.

Majlis dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang ketat dan berakhir kira-kira jam 11.00 pagi.

“UTM Prihatin”

Explore More