November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 18 Dis. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bukan sahaja melahirkan graduan cemerlang dari segi akademik malah juga dari pembentukan jati diri melalui pengajaran falsafah dan budaya ilmu tinggi.

Graduan Doktor Falsafah (Ph.D) dari Raja Zarith Sofiah Centre for Advance Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS), Dr. Mohd Hilmi bin Ramli, mengakui pengalamannya belajar di pusat kecemerlangan itu amatlah bermakna baginya dan berasa amat beruntung kerana falsafah dan budaya ilmu tinggi yang dizahirkan oleh setiap pensyarah, pentadbir dan pelajarnya.

Beliau bersyukur kerana hasil dari pengajian yang intensif di RZS-CASIS UTM serta berbekalkan Biasiswa Zamalah Ph.D yang diperolehinya, beliau dapat menumpukan sepenuh masa kepada pembangunan dirinya sebagai seorang pelajar dan sarjana melalui penglibatan dalam pelbagai bidang sepanjang tempoh pengajian.

“Saya pernah perlibat dalam bidang pengajaran iaitu menjadi tutor, penerbitan iaitu terlibat dalam menguruskan, menyunting karya-karya sarjana, dan juga menghasilkan buku sendiri, pentadbiran melalui mesyuarat penganjuran program RZS-CASIS dan turut mendapat pengalaman beramah mesra dengan sarjana dari dalam dan luar negara.

Selain itu saya juga terlibat dalam pengurusan program iaitu menjadi pemimpin dalam penganjuran akademik melibatkan sarjana dan peserta pasca sarjana dalam dan luar negara dan penyelidikan di mana saya terlibat sebagai ahli penyelidik dalam geran Kementerian Pengajian Tinggi berjumlah RM 800,000 pada tahun 2016, ” katanya.

Menurut Dr Mohd Hilmi, sebelum menyambung pengajian di UTM, beliau sudah mendapat Biasiswa Chevening untuk menyambung pengajiannya di School of Oriental and African Studies (SOAS), United Kingdom pada tahun 2011.

Namun, oleh kerana pihak SOAS mengenakan syarat untuk saya mendaftar lebih awal kursus intensif bahasa Inggeris sebelum pendaftaran pada bulan September 2011, saya tidak dapat terima tawaran mereka kerana masih bekerja di perbankan Islam.

Maka, terlepaslah peluang saya untuk menyambung pengajian di universiti luar negara, katanya.

“Namun demikian, saya bersyukur kerana menjadi antara pelajar Sarjana Falsafah terawal di CASIS ketika ia mula-mula ditubuhkan pada tahun 2011 iaitu pada tahun yang sama tawaran saya ke SOAS ditolak.

Saya juga merupakan graduan pertama yang menghabiskan Sarjana Falsafah(2013-2016) dan Doktor Falsafah(2017-2020) di CASIS.

“Dalam Majlis Konvokesyen ke-64 ini, saya menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) yang telah tertangguh sejak saya berjaya dalam viva-voce  Ph.D pada 14 Jan 2020.

Dan yang lebih bermakna juga, pengalaman saya di RZS-CASIS telah dianugerahkan sebagai Best Post Graduate Student.

Alhamdulillah. Kini saya berkhidmat di RZS-CASIS sebagai pensyarah kanan untuk menyumbang bakti dan penghargaan kepada UTM, katanya lagi.

RZS-CASIS ditubuhkan pada 21 Februari 2011, oleh pengasas dan Pengarah pertama, iaitu Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, seorang sarjana dan pemikir yang disegani, yang telah belajar dengan dua tokoh pemikir besar, Almarhum Prof. Fazlur Rahman dan Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

RZS-CASIS menawarkan pengajian akademik yang tekun (rigor) dalam bidang ilmu tradisi Islam, dan pada masa yang sama memahami dengan mendalam cabaran ilmu, sains, dan pemikiran klasik dan kuno Tamadun Barat.

Walaupun RZS-CASIS sebahagian dari pusat kecemerlangan di sebuah universiti berasaskan teknologi yang hebat, iaitu UTM, falsafah dan orientasi ilmiah RZS-CASIS ke arah mendidik manusia dengan ilmu yang benar dan berfikiran saintifik.  Pengalaman menyiapkan pengajian M.Phil dan Ph.D di UTM adalah satu pelaburan yang sangat berbaloi.

Explore More