November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 18 Dis. – Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia(UTM) ke-64 yang bertempat di Dewan Sultan Iskandar, Kampus UTM Johor Bahru telah menjadi penutup jejak kasih yang membanggakan bagi graduan pensyarah dan bekas pelajar-pelajarnya.

Graduan pensyarah tersebut, Puan Noraziah binti Hamid dari Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak dan bekas pelajar-pelajarnya, Sr. Ridzuan bin Mohamed Radzi, Juru Ukur Bahan dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan Encik Muhammad Syazwi bin Shafie, Penolong Jurutera dari JKR merupakan graduan Sarjana Kejuruteraan (Pengurusan Pembinaan) UTM dan rakan sekelas sepanjang pengajian Sarjana melalui Program Pesisir.

Encik Ridzuan bin Mohamed Radzi
Encik Muhammad Syazwi bin Shafie

Pada tahun 1994 hingga 1995, Encik Ridzuan merupakan pelajar Puan Noraziah semasa pengajian Sijil Ukur Bahan bagi Subjek Aturcara Kontrak di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jitra, Kedah. Manakala, pada tahun 2007, Encik Syazwi merupakan pelajar pensyarah tersebut semasa pengajian Diploma Kejuruteraan Awam bagi subjek yang sama di PUO.

Bermula dengan panggilan ‘Puan Noraziah” suatu ketika dahulu, kini Encik Ridzuan dan Encik Syazwi yang tidak sangka akan menjadi rakan seperjuangan Puan Noraziah sepanjang pengajian sarjana lebih selesa memanggil bekas pensyarah mereka “Kak Aziah”.

“Kak Aziah adalah pensyarah yang pernah mengajar saya dahulu. Beliau pernah mencubit perut saya supaya menjadi pelajar yang berjaya dan setelah itu, saya benar-benar berjaya dengan mendapat Anugerah Pelajar Terbaik 1995 Jabatan Awam,” kata Encik Ridzuan.

Encik Ridzuan juga berpendapat Puan Noraziah bijak mengendali tumpuan para pelajarnya dengan sering mengadakan kuiz mengejut pada kelas sesi petang untuk mengelakkan mereka dari mengantuk.

“Saya turut sering dipanggil untuk menjawab soalan semasa sesi pembelajaran beliau kerana kerap ‘terlena-lena ayam’,” kata Encik Syazwi.

“Walaupun begitu, saya gembira dan berterima kasih kepadanya kerana pengalaman itu telah membantu saya untuk menjadi lebih fokus dan bersedia di dalam kelas sehingga sering berjaya mendapat Anugerah Pelajar Terbaik (Pingat Ketua Jabatan) ketika itu,” tambah Encik Syazwi.

Kedua-dua graduan cemerlang ini tidak putus-putus mengucap syukur kerana berjaya bergraduasi dan bangga kerana dapat bergraduasi bersama bekas tenaga pengajar yang dikasihi setelah bersama-sama mengharungi perjalanan pengajian Sarjana selama dua tahun.

Mereka yang masih sukar mempercayai diri telah berjaya bergraduasi bersama Puan Noraziah turut menyimpan dalam memori indah mereka belajar bersama-sama untuk menyelesaikan tugasan dan pembentangan kumpulan.

Encik Ridzuan dan Encik Syazwi mendoakan kejayaan Puan Noraziah selepas ini dan menyifatkan semangat Puan Noraziah menyambung pengajian adalah contoh yang baik untuk semua.

“Kak Aziah perlu dijadikan contoh yang amat baik kepada semua kerana beliau masih ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi walaupun telah mencecah usia 56 tahun ketika bergraduasi,” kata Encik Ridzuan.

Ucapan akhir Encik Ridzuan kepada Puan Noraziah adalah “Saya akan kenang jasa Kak Aziah sehingga akhir hayat saya”.

Dengan kejayaan meraih segulung Sarjana, Encik Ridzuan berharap beliau akan dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan mendapat kelebihan untuk maju ke peringkat yang lebih tinggi dalam kerjaya.

Setakat ini, beliau telah menerima keputusan yang baik semasa temuduga kenaikan pangkat iaitu rezeki disenaraikan sebagai calon simpanan. Manakala bagi Encik Syazwi pula, beliau telah menyimpan cita-cita untuk memohon menjadi Jurutera Professional berdaftar selepas ini.

Puan Noraziah binti Hamid, Pensyarah Politeknik Ungku Omar




Explore More