April 29, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 12 Dis – Graduan Majlis Konvokesyen ke-64 (MK64) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohd Shahril Salleh dan adik beliau Noorhazwani Salleh meneruskan legasi indah keluarga mereka apabila menambah lagi bilangan ahli keluarga yang menjadi lulusan UTM.

Shahril yang bergraduasi dengan Sarjana Falsafah (Fizik) di Majlis Konvokesyen (MK) ke-64 UTM pagi tadi berkongsi majlis graduasi yang sama dengan adik bongsunya, Noorhazwani Salleh yang akan menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Bioproses) pada 14 Disember ini.

Diwawancara selepas sesinya, Shahril melahirkan rasa bangga dan terharunya kerana kesemua adik-beradik termasuk dirinya ialah Alumni kepada salah sebuah Universiti Penyelidikan (Research University) terunggul negara ini.

“Saya merupakan anak ketiga dari lima beradik yang mana kesemuanya adalah Alumni UTM. 

Abang sulung, Mohd Subha Salleh bergraduasi dengan Sarjana Muda Sains Komputer dari Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan (dahulu dikenali sebagai Fakulti Sains Komputer).

Kakak kedua, Noor Diyana Salleh bergraduat dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Bioproses) dan kini bertugas sebagai guru di sebuah sekolah menengah di daerah Batu Pahat, Johor,” katanya mengulas tentang kejayaan adik-beradiknya.

Shahril berkata adik keempatnya Noor Izyan Salleh pula bergraduasi dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Pendidikan Fizik) dan juga Ijazah Sarjana dalam bidang sama dari UTM dan kini sedang bertugas sebagai seorang guru sekolah menengah di Teluk Panglima Garang, Selangor.

Lebih menarik lagi, suri hati Shahril, Dr Nurul Hana Adi Maimon juga bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM Johor Bahru.

Ianya berlaku tanpa dirancang namun amat indah apabila kesemua adik beradik saya mendapat pendidikan tinggi di UTM dan setiap dari kami telah berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Mohd Shahril Salleh (kiri) bersama adik bongsunya, Noorhazwani selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UTM ke-64 di kampus Johor Bahru pagi tadi. Shahril menamatkan pengajiannya dengan memperolehi Ijazah Sarjana Falsafah (Fizik) manakal Noorhazwani pula akan bergraduasi dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Bioproses) pada 14 Disember ini. Pasangan adik beradik ini mencatat sejarah unik apabila kesemua adik mereka adalah Alumni UTM. (Gambar dirakam dengan graduan mengenakan topeng sebagai langkah pematuhan SoP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berkenaan dengan adik bongsu saya Noorhazwani, tidak dinafikan bahawa beliau banyak membantu saya dari segi sokongan moral sepanjang menyambung pengajian di universiti ini.

Ini kerana bukan mudah belajar secara sepenuh masa dan dalam masa yang sama terikat dengan komitmen rumahtangga,” katanya lagi.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapannya, Shahril berkata beliau telah pun memulakan pengajiannya dalam bidang sama di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan berhasrat menjadi tenaga pengajar di UTM.

“Saya ingin menamatkan pengajian peringkat tertinggi di sini sekaligus mencipta kenangan manis di universiti yang telah dan pernah mencorakkan kehidupan kami adik beradik,” katanya lagi.

Sementara itu, Noorhazwani turut mengakui terinspirasi dengan kejayaan kakak dan abang beliau yang masing-masing telah berjaya dalam kerjaya masing-masing berkat melanjutkan pengajian di UTM.

“Sokongan ibu bapa kami turut menguatkan lagi semangat dan kesungguhan untuk menggapai cita-cita menggulung ijazah di UTM,” kata beliau.

Berkongsi pengalaman belajar di UTM, salah satu kenangan paling indah ialah apabila beliau diberikan peluang menjalani program selama enam bulan di Jepun telah membentuk jati diri beliau menjadi lebih kuat dan berani.

“Dengan keadaan seorang diri, tanpa ahli keluarga di sana pada mulanya buatkan perasaan saya bercampur-baur, apatah lagi sebelum ini tidak pernah berjauhan dengan keluarga.

Namun pengalaman tersebut saya berjaya harungi dan membuktikan diri bahawa saya boleh dan kuat untuk hadapi kesukaran walau tiada bantuan sekeliling,” akhiri beliau.

Explore More