April 29, 2024

Search
Close this search box.

25 November 2021, Kuala Lumpur – Seluruh warga UTM Kuala Lumpur hari ini teruja menerima kunjungan YBhg. Tan Sri Azman Hj. Mokhtar iaitu Pengerusi, Lembaga Pengarah Universiti yang baharu dilantik.

Kunjungan YBhg. Tan Sri Azman ini adalah julung kalinya diadakan selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti berkuatkuasa pada 5 April 2021 hingga 4 April 2024 menggantikan YBhg. Tan Sri Abdul Halim Ali yang tamat tempoh pelantikannya pada 14 Mac 2021.

Kunjungan ini juga adalah lanjutan daripada siri kunjungan beliau yang diadakan di kampus induk UTM Johor Bahru pada 23 dan 24 November 2021 yang lalu.

Di Kuala Lumpur kehadiran Tan Sri Azman telah disambut oleh YBrs. Prof.Ts. Dr. Abdul Latif bin Saleh, Pro-Naib Canselor UTM (kampus Kuala Lumpur) diiringi Tn Hj. Mohd Najib bin Masroom, Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur dan beberapa pegawai pengurusan universiti yang lain.

Tan Sri Azman tiba di UTM Kuala Lumpur untuk lawatan kampus

Lawatan beliau bermula dengan kunjungan ke Pejabat Pro-Naib Canselor untuk sesi sua mesra dan sedikit taklimat berkaitan tadbir urus kampus UTM Kuala Lumpur.

Seterusnya Tan Sri Azman dibawa melawat Fakulti Teknlogi dan Informatik Razak (FTIR), Azman Hashim International Business School (AHIBS) dan Innovation Centre for 5G (IC5G) yang terletak di bangunan Menara Razak. Beliau seterusnya dibawa ke bangunan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) untuk lawatan di makmal yang berkaitan. Beliau sempat meluangkan masa merasmikan salah satu makmal yang dilawati iaitu Makmal Halal.

Sesi pagi lawatan Tan Sri Azman berakhir di Masjid UTM Kuala Lumpur. Satu majlis penyerahan cek zakat bernilai satu ratus ribu ringgit (RM100,000.00) daripada UTM Holdings telah diadakan di sini. Penyerahan cek tersebut disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Ramli bin Kushairi, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Holdings kepada Tan Sri Azman. Majlis ini turut disertai oleh Prof. Ts Dr. Abdul Latif selaku Pengerusi Jawatankuasa Zakat UTM Kuala Lumpur dan juga En. Ahmad Kamil Ahmad Kushairi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UTM Holdings. Tan Sri juga menunaikan solat Zuhur di Masjid UTMKL.

Tan Sri Azman di Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR)
Tan Sri Azman bersama pengurusan tertinggi Azman Hashim International Business School (AHIBS)
Tan Sri Azman di Innovation Centre for 5G (IC5G)
Tan Sri Azman mendengar penerangan berkaitan produk yang diproses di Makmal Halal
Tan Sri Azman bergambar bersama pengurusan Malaysia-Japan International Institute T echnology (MJIIT)

Sesi lawatan petang diteruskan lagi dengan lawatan ke Centre of Hydrogen Energy (CHE) dan Centre for Artificial Intelligent and Robotics (CAIRO). Seterusnya Tan Sri dibawa melawat kawasan sekitar kampus seperti Pusat Kesihatan Universiti (PKU), tapak bangunan taska yang akan dibangunkan dan juga bangunan Business and Advanced Technology Centre (BATC) yang akan dibangunkan menjadi PKU yang baharu.

Tan Sri Azman ketika lawatan di Centre for Artificial Intelligent and Robotics (CAIRO).

Lawatan sehari Tan Sri di UTM Kuala Lumpur berakhir dengan sesi networking hi-tea di TheSage@Level6, Gurney Mall, Residensi UTM yang turut disertai oleh Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Ramli Kushairi dan Encik Ahmad Kamil.

Tan Sri Azman mengunjungi Gurney Mall di Residensi UTMKL.

Keseluruhannya, Tan Sri Azman melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan lawatan yang telah diaturkan di kampus UTM Kuala Lumpur. Hasil lawatan ini beliau dapat mendekati warga UTM Kuala Lumpur, melihat sendiri struktur dan kemudahan yang terdapat di sini dan juga melihat hala tuju kampus ini di masa hadapan. UTM Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih atas kesudian Tan Sri Azman melawat kampus  dan seterusnya berkongsi pengalaman, pendapat  dan tips kejayaan beliau dengan pengurusan universiti. Semoga UTM terus cemerlang di bawah pimpinan YBhg. Tan Sri. Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Explore More