November 26, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh : Dr Zulkarnain Ahmad Noorden

KOTA TINGGI, 7 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah melaksanakan projek komuniti di Perkampungan Rumah Rakit Tanjung Surat, Kota Tinggi Johor.

Projek Komuniti yang dilaksanakan di bawah program ‘Sadaqa House’ ini diberi nama ‘Pemasangan Tenaga Elektrik Solar di Perkampungan Rumah Rakit Tanjung Surat’.

Ketua Projek, Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan UTM, Dr Zulkarnain Ahmad Noorden berkata satu sesi penerangan  kepada penduduk rumah rakit tersebut telah diberikan bagi memastikan penduduk yang bakal menerima tenaga elektrik solar itu mendapat pendedahan secukupnya berkenaan dengan kaedah keberfungsian dan penyelenggaraan sistem yang akan dibekalkan kepada mereka.

“Buat masa ini sebahagian penduduk perumahan rakit berkenaan menampung keperluan tenaga elektrik harian mereka dengan membuat pendawaian bekalan dari darat tanpa sistem perlindungan yang selamat.

“Selain faktor kurang selamat, mereka terpaksa menanggung kos tenaga elektrik yang tinggi hasil dari kehilangan tenaga elektrik dari pendawaian tersebut,” katanya lagi.

Dr Zulkarnain berkata melalui tajaan penuh dari BIMB, tenaga elektrik solar yang dibekalkan akan membolehkan penduduk di situ menikmati bekalan elektrik berterusan yang selamat bagi kegunaan menyalakan lampu dan kipas untuk kesemua 13 buah rumah rakit tersebut.

“Seramai tiga pensyarah dari Sekolah Kejuruteraan Elektrik UTM, tiga tenaga pengajar dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang dan enam pelajar IEEE Power and Energy Society Student Branch UTM telah turut serta dalam projek komuniti ini.

“Para penduduk telah diberikan penerangan dengan menggunakan kit pembelajaran mudah sistem tenaga elektrik solar iaitu Pvedukit yang dibangunkan oleh UTM di samping beberapa sesi eksperimen yang dijalankan seperti kesan bayang-bayang, pendedahan panel solar kepada sinaran matahari dan juga penjagaan bateri telah dilaksanakan bagi memberikan kefahaman praktikal yang lebih mantap kepada penduduk tempatan,” katanya lagi.

Selain kaedah pengoperasian, penduduk juga diberikan tunjuk ajar berkenaan dengan kaedah penyelanggaraan yang perlu dibuat setiap tiga hingga enam bulan dan persiapan awal yang diperlukan untuk aktiviti pemasangan sistem tenaga solar kelak.

Program ini telah disertai oleh sejumlah 11 orang penduduk rumah rakit yang merupakan ketua keluarga bagi 13 buah rumah di perkampungan rumah rakit tersebut.

Aktiviti pemindahan ilmu ini turut mendapat sokongan dari IEEE R10 Educational Activities di bawah geran ‘Reaching Local Initiatives 2021’.


Sesi perkongsian pengenalan sistem tenaga elektrik solar oleh Ketua Projek, Dr. Zulkarnain Ahmad Noorden kepada masyarakat Perkampungan Rumah Rakit Tanjung Surat, Johor. (2 foto)

Sesi eksperimen mudah-faham sistem tenaga elektrik solar menggunakan kit pembelajaran mudah, PVedukit UTM bersama masyarakat Perkampungan Rumah Rakit Tanjung Surat, Johor.

Gambar peserta program pemindahan ilmu tenaga elektrik solar di Perkampungan Rumah Rakit Tanjung Surat, Johor.
Keadaan rumah rakit di Tanjung Surat, Kota Tinggi, Johor.

Explore More