April 28, 2024

Search
Close this search box.

Eduwebinar: Hobi Baharu Masa PKP, Hijaukan Bumi Kita yang telah dianjurkan oleh JawatanKuasa Kolej Mahasiswa, Kolej Rahman Putra, Kelab Riverdale KRP dan Fakulti Alam Bina dan Ukur telah dilancarkan pada 5 Jun 2021 secara Live di Facebook Riverdale KRP.

Pelancaran kempen ini dimulakan dengan sesi perkongsian bersama lima panel yang terdiri daripada pensyarah FABU iaitu Dr Nurul Hawani Idris, Dr Alvin Lau Meng Shin daripada program Geoinformasi, Prof Madya LAr Dr. Sapura Mohamad daripada program Senibina Landskap serta dua panel jemputan iaitu En Safwan bin Shaari, Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan penampilan khas daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, En Mohd Yussainy bin Md Yusop, Pengarah Eko-Park dan Hutan Taman Negeri.

Moderator bagi eduwebinar ini pula Dr Norhidayah binti Md Yunus, pensyarah Jabatan Harta Tanah selaku penyelaras eduwebinar.

Eduwebinar selama 2 jam itu membincangkan topik-topik menarik untuk menggalakkan penanaman dan penjagaan pokok oleh mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) khususnya daripada ahli Kelab Riverdale KRP dan komuniti UTM serta disekitarnya.

Eduwebinar dimulakan dengan perkongsian daripada panel pertama iaitu Prof Madya LAr Dr. Sapura Mohamad yang berkongsi cara-cara menanam pokok dirumah serta bagaimanakah penjagaan yang perlu dilakukan selepas penanaman.

Panel kedua, iaitu Dr Nurul Hawani Idris pula berkongsi satu inovasi daripada UTM, penggunaan aplikasi mobil GIS (Sistem Maklumat Geografi) untuk merekod pokok-pokok yang ditanam dirumah serta aktiviti penjagaan seperti pembajaan; melalui aplikasi ini pengguna boleh melihat dan memantau sendiri tumbesaran pokok yang ditanam di website geotrees.com.

Panel ketiga iaitu Dr Alvin Lau Meng Shin pula berkongsi berkaitan teknologi Remote Sensing yang semakin popular iaitu dron untuk menganalisis kawasan hijau untuk kawasan luas dan membolehkan tahap kehijauan berdasarkan indeks vegetasi sesebuah kawasan diperolehi; contohnya boleh mengenalpasti pokok-pokok yang berpenyakit.

Panel keempat pula ialah En Safwan yang berkongsi kaedah inovatif daripada Eropah teknik Kultur Hugel iaitu teknik pengkomposan untuk menguatkan struktur tanaman.

Panel yang dibawa khas daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pula menerangkan peranan hutan rekreasi disamping mempromosikan kempen Penghijauan Malaysia 2021-2025 untuk penanaman 100 juta pokok di seluruh Malaysia.

Aktiviti selepas eduwebinar diteruskan dengan penanaman dan pengetagan pokok menggunakan aplikasi Geotrees. Peserta webinar yang terdiri daripada mahasiswa UTM merekod pokok-pokok yang berada disekeliling rumah mereka.

Aktiviti kempen diteruskan bersama komuniti Rumah Iskandar bagi penanaman 100 pokok yang diberikan selepas tamat PKP fasa 1, iaitu pada 11 September 2021.

Kempen dimulakan dengan eduwebinar siri kedua iaitu sesi perkongsian daripada Prof. Ir Mohd Fadhil bin Md Din berkaitan penanaman dan penjagaan pokok dan Dr Nurul Hawani Idris, berkaitan pengetagan menggunakan aplikasi Geotrees di atas talian.

Keesokan harinya, sesi pemberian anak pokok kepada komuniti Rumah Iskandar Malaysia yang menyertai webinar diadakan dengan bantuan Pejabat Pengurusan Perumahan Rumah Iskandar Malaysia yang diselaraskan oleh Puan Nurul Hidayah binti Abd Rahman. Peserta kempen yang bertuah pula mendapat saguhati daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Kempen diakhiri dengan pengumuman peserta Geotrees paling aktif menanam dan mengetag pokok-pokok di rumah masing-masing. Pemenang diumumkan di dalam telegram.

Pihak penganjur mengucapkan penghargaan kepada jawatankuasa yang terlibat dari awal terutamanya barisan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Rahman Putra yang diketuai oleh Chan Cun Wei sehingga tamat kempen, dan sukarelawan jemputan, Dr Norhadija Darwin, Cik Nurul Asyiqin Mohd Salleh, Cik Syarah Balqis Binti Sakimin, En Mohamad Jahidi Osman dan En Mohd Farid Fauzi.

Penganjur berharap dengan adanya kempen ini hobi menanam dan menjaga pokok-pokok disekeliling diteruskan walaupun telah tamat Perintah Kawalan Pergerakan kerana peranan pokok sebagai penyerap karbon dan pembekal oksigen, walaupun tidak dapat menghilangkan seluruhnya kesan pelepasan gas rumah hijau sejak hasil aktiviti manusia berdekad yang lalu, adalah satu tanggungjawab bersama sebagai penduduk bumi.

Explore More