November 26, 2024

Search
Close this search box.

PUTRAJAYA, 5 Okt – Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menjadi perlambangan pengukuran tanda aras bagi menentukan tahap ketertinggian intelektualiti dan profesionalisma bagi sesebuah negara itu.

Instrumentasi bagi mengukur pencapaian IPT terbaik adalah kemampuannya untuk menghasilkan impak bukan sahaja terhadap warganya tetapi juga kepada masyarakat secara umumnya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata impak yang dimaksudkan adalah merujuk kepada penawaran solusi dan juga kepakaran sesebuah universiti itu dalam menyelesaikan permasalahan rakyat dan negara.

“IPT yang baik haruslah mampu untuk menawarkan penyelesaian terhadap isu dan penyelesaian terhadap beberapa permasalahan yang wujud dalam masyarakat samada bersifat struktural ataupun isu semasa yang perlukan penyelesaian segera.

Universiti juga perlu sentiasa tampil memberikan idea baru yang berimpak tinggi demi untuk kesejahteraan rakyat serta perlu memperlihatkan fungsi sebagai peneraju perubahan selaras dengan fungsinya yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Hari Akademia 2021 yang berlangsung secara dalam talian di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Putrajaya. Turut menyertai ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Menurutnya lagi peranan universiti telah mengalami perubahan yang drastik dari pusat pengajaran dan menimba ilmu kepada identiti korporat yang memberikan inovasi dalam ekonomi moden.

“Fungsi ini jelas menunjukkan betapa besarnya tanggungjawap yang digalas IPT dalam mencorakkan sumber manusia berkualiti untuk pembangunan negara.

“Oleh yang demikian amat penting kepada IPT perlu tampilkan peranan terbaik agar amanah yang digalas dapat ditunaikan sebaiknya dalam mencorakkan legasi kepimpinan masa depan negara,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai Hari Akademia 2021, Dr Noraini berkata tema sambutan ‘Akademia Diperkasa Digitalisasi Dibudaya’ untuk tahun ini diangkat tepat pada masanya.

“Penekanan terhadap usaha pendigitalisasian pendidikan tinggi ini diangkat tepat pada masanya ketika seluruh dunia berdepan dengan masalah ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19.

“Tempoh krisis yang panjang ini telah mendesak kita untuk mencari solusi yang inovatif dan kreatif bagi memastikan kelestarian institusi pengajian tinggi ini sentiasa terpelihara walaupun terpaksa melalui tempoh yang sukar ini,” katanya lagi.

Situasi pandemik COVID-19 telah menyebabkan sistem pendidikan tinggi Malaysia melalui proses transformasi di mana kaedah konvensional tidak lagi dapat dipraktikkan sepenuhnya.

“Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) tidak lagi bersifat kehadiran secara fizikal dalam kelas mahupun bersifat setempat malah dihubungkan melalui rangkaian perkhidmatan pembelajaran secara maya melalui talian internet.

“Disebabkan kemunculan secara tiba-tiba kaedah PnP dalam talian ini, terdapat keperluan yang serius agar kedua-dua konsep knovensional dan kontemporari ini digabungjalinkan agar memudahkan pihak – pihak terlibat seperti pengajar dan pelajar,” katanya lagi.

Dr Noraini turut menyatakan iltizam kementeriannya meningkatkan kompetensi tenaga pengajar dalam isu PnP secara dalam talian ini.

“KPT sentiasa beriltizam meningkatkan kompetnsi dan kapasiti tenaga pengajar dalam mengendalikan teknologi pendidikan alaf baru ini agar matlamat pendigital pendidikan tinggi negara dapat dicapai secara tuntas,” katanya lagi.

Hari Akademia 2021 yang melibatkan semua agensi dan jabatan di bawah naungan KPT ini telah dianjurkan dengan kerjasama Universiti Teknolog Malaysia (UTM).

Slot perasmian ini telah disusuli dengan Forum Akademia yang dihoskan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT, Prof. Ir. Dr Robiah Yunus.

Forum Akademia bertajuk Pendigitalan Pendidikan Tinggi: Halatuju dan Cabaran ini dianggotai oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dato’ Prof. Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof. Ts Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr Rosli Md Illias dan Presiden Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MAPCU), Datuk Parmjit Singh.

Explore More