April 28, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan Gakushuin University, Jepun Semai Kesedaran Strok Haba dalam Kalangan Remaja

Disediakan oleh: Dr. Nurul Huda Ahmad, FTIR, UTMKL

Kuala Lumpur, 29 Sept. – UTM di bawah Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) UTMKL dengan kerjasama Gakushuin University, Jepun telah menjalankan Program ‘Kesedaran Strok Haba’ pada 25 September 2021.

Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kejuruteraan dan Teknologi FTIR, Prof. Madya Dr. Samira Albati Kamaruddin dan juga menjalankan tugas Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi.

Program ini telah melibatkan para pelajar Tingkatan 2 dan guru-guru dari empat buah sekolah menengah iaitu Sekolah Islam Adni, Sekolah Bina Insan, Sekolah Menengah Islam Pintar dan Sekolah Menengah Al-Amin.

Program ‘Kesedaran Strok Haba’ mendapat tajaan bernilai anggaran 50,000 yen atau RM100,100 daripada geran jaringan bersama Gakushuin University, Jepun di bawah Prof. Madya Dr. Izumi Yamasaki.

Penyelidikan di Malaysia pula diketuai oleh Dr Rudzidatul Akmam selaku Ketua Ubiquitous Broadband Access Network (U-BAN).

Program ini juga turut dibantu oleh Prof. Madya Dr. Tomoyo Toyota dari University of Shimane, Jepun dan Dr Masahiko Haraguchi dari Research Institute for Humanity and Nature, Jepun serta lima penyelidik FTIR (Dr Norliza Mohamed, Prof Madya Dr Habibah Norehan Haron, Dr Mohd Azri Mohd Izhar, Dr Nurulhuda dan Dr Norulhusna Ahmad).

Program ini adalah bertujuan untuk mendedahkan para pelajar kepada pengetahuan berkaitan strok haba, simptom dan langkah berjaga-jaga.

Antara objektif yang ingin dicapai adalah untuk meningkatkan pengetahuan di kalangan pelajar sekolah menengah berkaitan strok haba dan perubahan iklim serta membentuk kesedaran dalam komuniti generasi muda Malaysia berhubung simptom dan kesan strok haba.

Para pelajar yang terlibat turut diberikan soal selidik barkaitan strok haba sebelum dan selepas ceramah berkaitan dijalankan bagi menilai tahap kefahaman berkaitan strok haba.

Program ‘Kesedaran Strok Haba’ ini telah dijalankan secara dalam talian dan berlangsung secara selari bagi dua topik yang berbeza.

Para pelajar telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Bumi dan Kumpulan Solar. Kumpulan Bumi mengikuti ceramah yang bertajuk ‘Climate Change and its Effect’ yang disampaikan oleh En. Ahmad Farid Mohammed, Timbalan Setiausaha dari Bahagian Perubahan Iklim, Kementerian Alam Sekitar dan Air. Beliau juga ialah UTM Alumni.

Manakala, Kumpulan Solar mengikuti ceramah yang bertajuk ‘Heat Stroke Symptoms and Precaution’ yang disampaikan oleh Dr. Vivien How, Pensyarah Kanan dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.

Walaupun masih berada dalam kekangan Prosedur Piawai (SOP) berikutan COVID-19, program telah berjaya mencapai objektif menyokong pembelajaran dalam talian atau jarak jauh bagi memastikan bahawa sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar disokong dengan sumber pendidikan secara percuma untuk terus memberi inspirasi kepada pelajar untuk menuntut ilmu walau di manapun mereka berada.

Program ini turut menyumbang dalam mempertingkatkan minat para pelajar di dalam subjek yang di ajar di sekolah terutamanya Sains dan Geografi berikutan topik-topik ceramah yang disampaikan adalah berkaitan secara langsung dan praktikal.

a) Poster Program
b) Perasmian Majlis oleh PM Dr Samira
c) Kata Aluan daripada Dr Rudzidatul (Ketua U-BAN), Prof Madya Izumi (Gakushuin University, Jepun)
c) Webinar Strok Haba secara dalam talian
Dari Atas: En Ahmad Farid Mohammed (KSA), Dr Vivien How (UPM)

Explore More