November 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 27 Sept – Prof. Madya Ir Dr Malarvili Bala Krishan dari Sekolah Kejuruteraan Sains Bioperubatan dan Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengharumkan nama baik negara dan juga universiti apabila diisyitiharkan memenangi dua anugerah penyelidikan berprestij dari luar negara.

Dr Malarvili telah memenangi pingat Emas, Anugerah Khas dan Anugerah ‘Leading Innovation Award’ di Pertandingan Inovasi Antarabangsa Tahunan (iCAN 2021) yang berlangsung di Toronto, Kanada.

Dr Malarvili bersama pasukan Biosignal Processing (BSP-RG) yang diketuainya dengan kerjasama Dr Teo Aik Howe dari Hospital Pulau Pinang telah mencipta peranti khas bagi penilaian dan pemantauan fungsi pernafasan yang diberikan nama sebagai iBreath.

Peranti iBreath ini mengukur hembusan oksigen melalui saluran hidung serta menilai dan memantau fungsi pernafasan secara berterusan tanpa memerlukan pesakit melakukan banyak pergerakan. 

“Bacaan pernafasan boleh diteliti pada skrin digital yang disediakan pada alat berkenaan. Sebagai peranti yang bersifat mesra pengguna, alat ini juga boleh diakses melalui telefon pintar yang dapat digunakan bagi tujuan keselesaan pengguna.

“Peranti ini bersifat mudah alih, ringan dan mudah digunakan di rumah dan di mana-mana pusat kesihatan. Ia dilengkapi dengan penyimpanan data kad USB / SD dan beroperasi dengan kuasa bateri cas semula,” katanya.

Sebagaimana peranti perubatan yang lainnya, alat ini telah melalui fasa ujian keupayaannya yang tersendiri sebelum memasuki fasa pembuatan dan pemasaran kepada pengguna khalayak.

“Buat masa ini iBreath mampu membezakan ciri pernafasan seperti asma, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Penyakit Paru Obstruktif Kronik (COPD) dan edema paru. Untuk menyesuaikan dengan keadaan pandemik COVID-19 kini, peranti ini akan dilengkapi teknologi bacaan pernafasan khas untuk pesakit COVID di masa akan datang,” katanya lagi.

Tiga ciri penting penggunaan peranti ini adalah mudah alih, tidak invasif (non-invasive) serta boleh diintegrasikan dengan aplikasi di telefon pintar. Penciptaan alat ini adalah sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 Malaysia (IR4.0) di mana pertumbuhan ekonomi adalah disebabkan oleh penggabungan pelbagai sector.

Program iCAN 2021 ini telah diadakan melalui platform maya disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang tidak menggalakkan perjumpaan beramai-ramai secara bersemuka.

“Walaupun dilaksanakan secara atas talian, lebih daripada 650 hasil penyelidikan dari seluruh dunia telah dipamerkan.

“Secara rasmi, sebanyak 70 buah negara telah mengambil bahagian dalam program ini sekaligus mencatat rekod penyertaan tertinggi berbanding dengan lima edisi penganjuran sebelum ini iaitu bermula dari tahun 2016 hinggalah ke tahun 2020,” katanya.


Gambar (dari kiri): Dr. Nadhira Dahari, Prof. Madya Ir. Dr. Malarvili Bala Krishnan dan Dr. Santheraleka Ramanathan dari Sekolah Kejuruteraan Sains Bioperubatan dan Kesihatan, UTM
 

Gambar: Pengguna sedang menunjukkan bagaimana iBreath dihubungkan melalui saluran pernafasan hidung dan ciri pernafasan direkod sambil bernafas mengikut kadarnya sendiri, sementara hasilnya juga dipindahkan ke telefon pintar secara automatik.
Ketiga-tiga anugerah yang dimenangi Prof Madya Dr Malarvili Balakrishnan di iCAN 2021

Explore More