Disember 19, 2024

Laporan Aktiviti Mesyuarat AGM Persatuan Mahasiswa Perancang Bandar Dan Wilayah UTM (Pewibawa) Sesi 2021/2022

Pada 2 September 2021 (Khamis) lalu, Persatuan Mahasiswa Perancang Bandar dan Wilayah UTM (PEWIBAWA) telah mengadakan sebuah Mesyuarat Agung Tahun (AGM) bagi tahun 2021/2022 memilih barisan kepimpinan Majlis Tertinggi (MT) baru persatuan.

Majlis tersebut telah diadakan secara atas talian dihadiri oleh 87 orang pelajar. Sepanjang tempoh kepimpinan barisan Majlis Tertinggi (MT) sesi 2020/2021 sebanyak 12 program telah dianjurkan meliputi bengkel kemahiran dan siri kuliah umum.

Di sepanjang tempoh pandemik Covid-19, penganjuran program oleh PEWIBAWA tidak melibatkan sebarang kos dan dianjurkan secara percuma atas talian.

Pengarah Program Perancangan Bandar dan Wilayah (PBW) UTM, Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail telah hadir merasmikan AGM tersebut. Majlis bermula dengan ucapan mantan Presiden PEWIBAWA sesi 2020/2021 saudara Muhammad Syamim Qayyum bin Roslan.

Turut hadir Penasihat Persatuan PEWIBAWA, Dr. Noor Aimran Samsudin.

Dalam ucapan beliau, di bawah kepimpinan baru PEWIBAWA perlu bergerak dalam suatu visi untuk memperkasakan aktiviti berpersatuan selaras dengan hasrat universiti. Selain menganjurkan program untuk kepentingan ahli-ahli persatuan, persatuan juga disaran untuk menganjur program yang dapat memberi manfaat kepada komuniti di luar secara maya.

Saranan tersebut turut disampaikan oleh Pengarah Program PBW yang mengesyorkan supaya para pelajar mengambil peluang secara aktif melibatkan diri membina hubungan dengan semua pihak berkepentingan seperti PLANMalaysia, Pertubuhan Perancang Bandar Malaysia (MIP), agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan industri di luar melalui platform PEWIBAWA.

Pihak Program PBW atau jabatan akan membantu persatuan untuk menganjurkan pelbagai webinar atau program yang akan dapat meningkatkan kemahiran pelajar menguruskan acara, berkomunikasi dan membina keyakinan diri.

Dalam AGM tersebut, buat pertama kali seorang siswi, saudari Nabiha binti Mohd Khusairy telah terpilih sebagai Presiden PEWIBAWA sesi 2021/2022 bersama 10 orang barisan MT yang baru akan memacu persatuan ke arah kecemerlangan selari dengan UTM enVision 2025.

Disediakan oleh:

Dr. Noor Aimran Samsudin

Penasihat PEWIBAWA

Rajah 1: Sebahagian ahli-ahli PEWIBAWA yang turut serta.
Rajah 2: Ucapan perasmian oleh Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail, Pengarah Program Perancangan bandar & Wilayah UTM.
Rajah 3: Ucapan alu-aluan oleh Dr. Noor Aimran Samsudin selaku penasihat PEWIBAWA
Rajah 4: Ucapan Nabiha Mohd Khusairy selaku Presiden PEWIBAWA sesi 2021/2022.

Explore More