November 22, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa kini perlu menerapkan kemahiran insaniah yang holistik dalam diri seiring dengan kecemerlangan akademik untuk mendepani cabaran masa kini. Hampir kesemua universiti termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi penekanan terhadap aspek pembangunan kemahiran insaniah bagi memperhebat personaliti mahasiswa sebelum graduasi.

Justeru, aktiviti debat di universiti merupakan wadah terbaik untuk mengasah pemikiran dan bakat mahasiswa.

Format peraturan dan elemen yang ada dalam pertandingan debat menuntut mahasiswa untuk cakna akan isu semasa. Penyampaian hujah yang intelektual meliputi fakta bernas bukannya mewujudkan sentimen sensitif yang melibatkan kaum, agama dan bangsa. Usul (tajuk perdebatan) yang diberi dalam pertandingan adalah untuk melatih mahasiswa berfikir secara kritis dan analitik.

Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) ditubuhkan sejak 1986 bertujuan mendorong mahasiswa dalam mengasah bakat pengucapan awam, berfikir secara berstruktur dan menonjolkan bakat berpidato serta debat dengan mengupas isu semasa dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi, politik dan isu negara bangsa di universiti awam Malaysia.

Peranan dan sumbangan MADUM tidak boleh dipandang enteng, berikutan pelbagai usaha yang dilakukan untuk menyediakan peserta dengan suasana sebenar dalam etika bersuara apabila bekerja dan menjalankan peranan sebagai ahli masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Shamsul Bin Sahibuddin merangkap Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) berkata, penglibatan institusi pengajian tinggi dapat menyemarakkan dan menyuburkan budaya pengucapan awam melalui pertandingan debat. Dalam masa yang sama, dapat memberi kesedaran terhadap penjagaan dan pemuliharan alam sekitar untuk terus dipelihara dan dilindungi bagi kelangsungan tamadun manusia dan generasi akan datang.

Antara pertandingan debat yang melibatkan MADUM ialah Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pengajian Tinggi. Pertandingan Debat Alam Sekitar ini telah menjadi aktiviti tahunan yang diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mahasiswa terhadap pelbagai isu dan juga permasalahan alam sekitar di sekeliling kita.

Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pengajian Tinggi pertama kalinya telah diadakan pada tahun 1986. Walau bagaimanapun ia menjadi acara tahunan bermula tahun 1991 setelah kerajaan Malaysia mengisytiharkan 21 Oktober setiap tahun sebagai Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM).

Pendidikan merupakan platform terbaik untuk mewujudkan dan menerapkan kesedaran alam sekitar dan konsep pembangunan lestari kepada masyarakat umum. Pembelajaran berterusan yang efektif akan melahirkan individu dan masyarakat yang intelek, cakna, aktif, memahami serta mampu mengenalpasti sesuatu perkara sama ada baik ataupun buruk.

Matlamat pendidikan alam sekitar adalah untuk membentuk masyarakat (pelajar) yang lebih cakna dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar serta memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan komitmen untuk berusaha dan bertindak secara individu atau bersama ke arah penyelesaian isu-isu alam sekitar.

Maka sistem pendidikan alam sekitar harus melihat dari perspektif perubahan kesedaran dan seterusnya boleh membawa kepada perubahan kepada amalan. Seseorang yang hanya mempunyai kesedaran tentang alam sekitar belum lagi boleh dikatakan seorang yang “Celik alam Sekitar”.

Pemahaman hendaklah dizahirkan dengan kemampuan pengamalan tingkah laku yang boleh membantu mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar.

Explore More