November 22, 2024

Search
Close this search box.

Artikel disediakan oleh Gs. Dr. Noradila Rusli 

KANGKAR PULAI, 4 Okt. — Usaha sekumpulan penyelidik daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuahkan hasil apabila sebuah aplikasi mudah alih yang dapat membantu pengurusan tanah perkuburan secara bersistematik telah berjaya dihasilkan.

Aplikasi yang dikenali sebagai GeoPusara ini, bukan hanya dapat memudahkan pencarian plot-plot kubur berdasarkan carian nama atau nombor plot, malah pihak khairat dan kematian dapat mengemaskini kemasukan jenazah baru di tanah perkuburan beserta koordinat lokasi plot kubur dengan menggunakan applikasi GeoPusara.

Aplikasi tersebut dirasmikan oleh Dekan FABU, Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad dalam sebuah Majlis Perasmian App Geopusara; Penyerahan Tanda Arah Kiblat Bagi Tanah Perkuburan Islam Kg. Melayu Kangkar Pulai di sini.

Turut dihadiri oleh Pengarah PLANMalaysia@Johor, Tn. Haji Mohd Faidzal Hamzah, Penolong Pengarah Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor, Ustaz Mohd Rilizam Rosli dan Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM, Prof. Madya Dr. Johari bin Surif.

Projek yang mendapat kerjasama erat daripada Jawatankuasa Masjid Nur Syahadah serta penduduk Kampung Melayu Kangkar Pulai ini, telah berjaya dilancarkan semasa program perasmian App GeoPusara & penyerahan tanda arah kiblat bagi Tanah Perkuburan Islam Kg. Melayu Kangkar Pulai.

Sebuah tanda arah kiblat telah dibina di bahagian tengah kawasan perkuburan sebagai panduan pengkebumian jenazah yang seterusnya.

Dalam ucapan perasmian oleh Dekan FABU, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Masjid Nur Syahadah serta penduduk Kampung Melayu Kangkar Pulai yang sudi bekerjasama dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap projek ini.

Projek ini juga turut diusahakan bersama PLANMalaysia@Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor yang sudi menyumbangkan data, buah fikiran dan nasihat sewaktu pelaksanaan projek ini.

Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad juga turut berharap agar kerjasama yang telah terjalin ini semakin erat, supaya manfaatnya dapat dikembalikan semula kepada masyarakat.

Ketua projek GeoPusara, Gs. Dr. Noradila Rusli pula menyifatkan penghasilan aplikasi mudah alih GeoPusara ini merupakan antara usaha bagi memastikan pangkalan data perkuburan Islam adalah lengkap dan bersistematik.

Data-data ini adalah amat penting untuk menjangkakan bilakah sesuatu tanah perkuburan itu akan penuh.

Seterusnya dengan maklumat ini, akan dapat membantu pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor serta PLANMalaysia@Johor menyediakan tanah-tanah wakaf kosong untuk dijadikan kawasan perkuburan baharu.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan projek ini terutamanya kepada pihak CCIN UTM  yang sudi memberikan dana kepada projek ini agar dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Dalam kepesatan pembangunan, seringkali kita mengutamakan penyediaan infrastruktur dan kemudahan untuk orang-orang yang masih hidup.

Tetapi, jarang kita memikirkan penyediaan kemudahan untuk orang-orang yang telah meninggal dunia. Ini adalah suatu inisiatif kecil, yang telah dilaksanakan bagi memastikan tanah perkuburan Islam lebih baik pengurusannya,” tambah beliau.

Explore More