November 22, 2024

Search
Close this search box.

Dua mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dipilih oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai duta MyDNA yang mewakili universiti sebagai ikon belia serta mempromosikan semangat patriotik dan perpaduan.

Salah seorang daripada mereka ialah Jekan Asokumaran, iaitu pelajar tahun akhir Sarjana Muda Kejuruteraan Nuklear, Fakulti Kejuruteraan.

Beliau merupakan Pengerusi Campus Election Committee (CEC) UTM yang telah menerajui pelaksanaan Pilihan Raya Kampus (PRK) UTM Sesi 2020/2021 pertama secara dalam talian yang lalu. Anak sulung dari 3 beradik kelahiran Pulau Pinang ini juga merupakan Pengarah Karnival Kerjaya UTM 2020.

Seorang lagi pula ialah Muhammad Izwan Awang Satiah, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (TESL), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Beliau pernah menerajui Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9&10 dua tahun berturut-turut bagi sesi 2018/2019 serta 2019/2020 yang lalu. Anak bongsu dari 4 beradik kelahiran Muar, Johor ini juga merupakan pemenang Anugerah Kepimpinan Kolej 2020.

Program Duta MyDNA merupakan salah satu program yang akan dijalankan dalam program Kembara Siswa Patriotik 2021. Program ini dicetuskan pada tahun 2019 bagi manifestasi dan memperkukuhkan semangat kemerdekaan dalam kalangan mahasiswa selain bertindak sebagai agen di dalam universiti.

Duta MyDNA ini berfungsi mengukuhkan dan mempromosikan semangat patriotisme dan perpaduan kepada seluruh mahasiswa serta masyarakat sekeliling bagi menterjemahkan elemen Rukun Negara dalam diri warga yang terpelajar. Elemen ini penting bagi generasi muda agar menjadi bakal pemimpin yang berpegang teguh kepada prinsip kenegaraan dan menjadi benteng pertahanan utama di masa hadapan. Duta MyDNA adalah platform dan menghimpunkan duta-duta siswa patriotik daripada semua IPTA di Malaysia.

Sepanjang bulan kemerdekaan ini, semua Duta MyDNA akan mengadakan pelbagai program di bawah Kembara Jalur Gemilang iaitu Malaysia Charm Challenge, Virtual Run Siswa Tuah Patriotik, Pertandingan Penulisan dan Penghasilan Video Sajak Kreatif dan Ambang Merdeka ke-64.

Mereka juga menjemput semua mahasiswa untuk menyertai semua pertandingan dan program bagi memeriahkan bulan kemerdekaan ini dan memupukkan semangat patriotik. Selain itu program ini diadakan adalah untuk meningkatkan integriti, jati diri dan perpaduan nasional dalam kalangan mahasiswa. Pelbagai hadiah juga menanti para pemenang.

Bagi Jekan, Malaysia adalah sebuah negara unik, makmur dan mempunyai masyarakat yang berbilang kaum. Sifat perpaduan dan cinta akan negara adalah elemen penting dalam pembangunan bangsa Malaysia yang bersatu-padu.

“Sebagai seorang mahasiswa, kita harus sedar dan bersatu untuk menyantuni segenap lapisan masyarakat bukan sahaja semasa bulan kemerdekaan bahkan sepanjang masa. Beliau berharap semua mahasiswa mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan semangat kemerdekaan dan patriotisme mereka melalui program-program anjuran Duta MyDNA.

Jekan Asokumaran

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian pengajian Tinggi dan kerana memberi peluang dan kepercayaan. Saya juga berharap semua mahasiswa mempunyai aspirasi yang kukuh untuk membangunkan negara kita dan bertindak sebagai pemangkin perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia,”ujar beliau lagi.

Muhammad Izwan pula berazam untuk melakukan yang terbaik dalam membantu menerapkan semangat patriotisme dan jiwa kemerdekaan dalam kalangan mahasiswa. “Harapan saya adalah supaya mahasiswa merebut peluang yang telah dibuka atas usaha Universiti, KPT, JPT dan Duta-duta MyDNA untuk sama sama kita menjiwai nilai-nilai kemerdekaan yang telah dinikmati hasil perjuangan tokoh-tokoh pada masa lalu, hari ini.” tambahnya lagi.

Explore More