April 28, 2024

Search
Close this search box.

31 Disember 2019 telah menjadi titik tanda apabila Novel Corona Virus(Covid-19) telah dikenal pasti melalui kluster kes Pneumonia di Wuhan, daerah Hubei (World Health Organization, 2020). Hal ini telah menyebabkan pelbagai perubahan kepada seluruh dunia dengan pengenalan norma baru dan sebagainya.

Semua pihak telah terkesan termasuklah industri sukan. Namun begitu, kewujudan pandemik ini juga memberi kesan yang positif kepada sukan baru seperti sukan E-sport yang telah di perkenalkan di peringkat dunia dan semakin popular.

Hal ini telah menimbulkan persoalan tentang pelaksanaan sukan-sukan lain iaitu sukan berkumpulan dan individu seperti larian pecut, berbasikal, bola keranjang, dan sofbol.

Sukan pemotoran juga telah terjejas apabila banyak penangguhan penganjuran sukan dan tuan rumah menarik diri sebagai penganjur telah berlaku (Nazarudin & Jepiridin, 2021).

Sebelum meneliti dengan lebih lanjut berkenaan sukan dan pandemik, eloklah sekiranya difahami dengan jelas definisi sukan dan pandemik.

Menurut Wenner (1998) yang menerangkan definisi sukan, menyatakan bahawa sukan ialah saluran atau medium yang digunakan dalam menyampaikan perasaan, nilai dan keutamaan sesuatu perkara untuk dizahirkan kepada masyarakat (Sarimah Ismail, 2012).

Sukan juga bermaksud pertandingan kemahiran fizikal yang dilakukan oleh setiap orang yang menyertai berlandaskan peraturan yang telah diaturkan (Parry, 2018).

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan ketangkasan, kemahiran dan tenaga yang dilakukan sebagai acara hiburan.

Secara kesimpulannya, sukan adalah segala kegiatan fizikal yang dilakukan bertujuan meluahkan rasa dan menyampaikan nilai melalui lakuan fizikal tersebut selain untuk menguji kemahiran seseorang individu dengan individu lain yang menceburi bidang sukan yang sama melalui pertandingan berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, pandemik pula merupakan penularan sesebuah wabak penyakit yang baru di seluruh dunia. Sebagai pemahaman yang lebih jelas, pandemik berlaku apabila ramai individu boleh dijangkiti sesuatu penyakit dengan mudah dan penyakit tersebut dapat merebak daripada seseorang individu kepada individu yang lain secara berterusan tanpa halangan di seluruh dunia (Dr. Lee Yew Fong, MBBS, OHD, 2014).

STATISTIK WABAK PANDEMIK DI MALAYSIA MENGIKUT NEGERI

Menurutnya lagi, deklarasi pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia adalah merujuk kepada penyebaran secara meluas penyakit tersebut.

Seluruh dunia telah menjalani perubahan baru sejak dua tahun lepas apabila Virus Covid-19 telah tersebar secara meluas tanpa sebarang halangan. Oleh sebab itu juga, semua rakyat di setiap negara di seluruh dunia perlu berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan norma-norma baru dalam kehidupan seharian bagi membendung penularan virus tersebut. Kesannya, semua sektor industri terjejas termasuklah industri sukan.

Pada tahun 2019, ramai atlet yang dikhuatiri menghadapi masalah sama ada dari segi fizikal iaitu prestasi dalam sukan mahupun mental setelah berbulan-bulan berlatih tanpa dapat melibatkan diri dalam sebarang kejohanan atau pertandingan.

Menurut Pegawai Psikologi Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Philip Lew,  hasil soal selidik yang dijalankan mendapati bahawa sebanyak 50 peratus daripada 4089 atlet antarabangsa menyatakan sukar untuk bermotivasi dalam menjalani latihan sukan dengan efektif di kala wabak pandemik melanda dunia.

Berikutan hal tersebut, kebimbangan telah timbul dalam kalangan jurulatih dan ahli-ahli sukan negara memandangkan hal tersebut menunjukkan bahawa keadaan mental separuh daripada atlet antarabangsa berada dalam keadaan yang kurang baik dan boleh menjejaskan prestasi mereka.

Oleh sebab itu, pihak jurulatih telah bertindak dengan menyediakan jadual periodisasi  latihan yang lengkap dan sesuai dengan atlet sepanjang pandemik. Lanjutan itu, aktiviti sukan dan rekreasi juga tidak dihentikan sepenuhnya disebabkan oleh pandemik.

Semasa fasa PKPB, aktiviti sukan boleh dilaksanakan berpandukan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan seperti penganjuran kejohanan atau pertandingan secara Gelembung Sukan dengan kebenaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), protokol am individu membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi dilakukan di tempat-tempat yang mematuhi SOP yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter dan sebarang perkongsian air minuman, makanan, serta barangan peribadi adalah dilarang sama sekali.

Penemuan dalam artikel baru-baru ini akan menjawab persoalan pembaca tentang pelaksanaan sukan misalnya sukan bola tampar.

Sukan bola tampar merupakan sukan berisiko sederhana untuk jangkitan Covid-19 kerana melibatkan perkongsian bola.

Menurut Nazarudin & Junaidi (2021), sekiranya pemain bola tampar ingin menjalani latihan dalam fasa PKPB, kelab dan organisasi sukan bola tampar perlu membuat Pelan Keselamatan dengan berpandukan ketetapan garis panduan.

Pemain juga dibenarkan melakukan teknik tumpuan semasa latihan dan latihan dijalankan dalam kumpulan kecil iaitu tidak melebihi enam orang satu gelanggang.

Sebagai contoh, tiga orang pemain melawan tiga orang pemain lagi. Pemain juga tidak boleh bersentuhan antara satu sama lain seperti berjabat tangan, berpelukan dan menepuk bahu apabila memperoleh mata kemenangan.

Semasa fasa PKP pula, SOP bersukan adalah tertakluk kepada SOP Sukan dan Rekreasi serta lebih ketat berbanding SOP pada fasa PKPB.

Antaranya ialah  aktiviti sukan dilaksanakan secara individu, di kawasan terbuka, terhad kepada joging dan senaman sahaja dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter.

Dalam pada itu, program latihan berpusat yang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara (MKN) seperti kejohanan atau pertandingan tertutup  perlulah menggunakan konsep Camp Based Training.

Hal ini adalah untuk mengawal penularan wabak Covid-19 daripada pelbagai faktor samada luaran atau dalaman selain untuk mengenal pasti punca jangkitan sekiranya berlaku jangkitan secara tiba-tiba.

Baru-baru ini, Olimpik Tokyo 2020 telah dijalankan di Tokyo melibatkan 46 jenis sukan yang dipertandingkan. Olimpik Tokyo 2020 ini merupakan bukti bahawa industri sukan masih boleh direalisasikan dan dijalankan walaupun dalam keadaan pandemik melanda dunia. 

Ia boleh dijadikan contoh bagaimana langkah keselamatan dan kesihatan dijalankan di Olimpik Tokyo bagi menjayakan acara dan prorgam sukan di peringkat dunia. 

Tambahan pula, teknologi Jepun telah menggunakan telefon bimbit kitar semula dalam penciptaan pingat kemenangan bagi Acara Sukan yang dipertandingkan.

Sebanyak 206 negara telah terlibat dengan menghantar atlet-atlet mereka dan negara Amerika Syarikat telah menduduki tempat pertama dengan jumlah pingat terbanyak iaitu 113 buah pingat, diikuti dengan China sebanyak 88 buah pingat dan Jepun tempat ketiga, sebanyak 58 buah pingat.

STATISTIK JUMLAH ATLET MALAYSIA YANG TERLIBAT OLIMPIK TOKYO

Olimpik Tokyo 2020 yang dilaksanakan meraih sambutan yang tinggi daripada masyarakat di seluruh dunia apabila seramai 850 000 penonton sertai pembukaan virtual Olimpik Tokyo 2020.

Hal ini menunjukkan bahawa minat masyarakat terhadap sukan masih membara dan tidak terjejas disebabkan oleh pandemik.

Tambahan pula, persediaan awal untuk Olimpik Tokyo 2020 yang lalu telah dibuat lebih awal apabila penganjur Tokyo 2020 mengesahkan satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan pada tahun 2020 bagi menangani isu berkaitan Covid-19 memandangkan ia dilaksanakan dalam fasa pandemik (“Olimpik Tokyo wujud jawatankuasa khas tangani isu COVID-19,” 2020).

Berikutan hal ini juga, Paralimpik Tokyo 2020 akan mula menyusul bermula 24 Ogos hingga 5 September tahun 2021. Pada 19 Ogos 2021 lalu, kumpulan pertama kontinjen negara iaitu dua pegawai dan lima atlet berbasikal telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa kuala Lumpur (KLIA) ke Jepun.

Masyarakat Malaysia telah meletakkan harapan yang tinggi kepada atlet paralimpik pula agar mereka dapat berjuang demi negara dan meraih pingat dalam Paralimpik Tokyo 2020 kelak.

Pada 11 Ogos lalu, walaupun penangguhan penganjuran Sukma Johor 2020 berlaku, atlet masih terus berlatih secara individu di rumah dengan pemantauan daripada jurulatih melalui video.

Atlet juga perlu mengemukakan ujian kecergasan mereka kepada jurulatih dua minggu sekali. Hal ini memperlihatkan bagaimana atlet berprestasi tinggi menjalani latihan walaupun dari rumah dengan sokongan dan pemantauan yang ketat daripada jurulatih mereka.

STATISTIK JUMLAH PUNGUTAN MEDAL OLIMPIK MENGIKUT NEGARA ASEAN

Beralih pula fokus kepada masyarakat, bersukan merupakan salah satu elemen penting dalam pengamalan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat ialah aktiviti yang dilakukan bertujuan untuk merawat, mengekalkan dan memastikan tubuh badan sentiasa sihat serta berkemampuan melakukan sebarang aktiviti dengan selesa (Rosli & Muda, 2018).

Walaupun kerja dari rumah telah meningkatkan beban kerja bagi segelintir individu, mereka perlu tahu bahawa mempunyai waktu untuk melaksanakan sedikit aktiviti fizikal juga penting.

Menurut Ibrahim, Razak, Mohamad, & Rosman (2021), bagi memastikan kesihatan diri berada pada tahap yang optimum, aspek pemakanan, kesihatan fizikal, kesejahteraan, keagamaan, kesejahteraan hubungan sosial dan kesihatan mental merupakan elemen gaya hidup sihat yang perlu diberi perhatian.

Bersukan merupakan salah satu penjagaan kesihatan fizikal tetapi juga merupakan salah satu cara yang baik dalam meningkatkan kesihatan mental. Kajian mendapati individu yang lebih kerap bersenam semasa pandemik dilaporkan mempunyai keadaan mood yang paling positif (Brand, Timme, & Nosrat, 2020).

Oleh hal yang demikian, setiap orang perlulah meneruskan amalan bersukan sebagai langkah penjagaan kesihatan mental dan fizikal terutamanya dalam situasi pandemik.

Sehubungan dengan itu, berikutan dengan pandemik dan sukan juga, kebanyakan infastruktur dan prasarana sukan ditutup menyebabkan rutin harian masyarakat berkaitan sukan terganggu (Mutz & Reimers, 2021).  

Masyarakat yang bekerja akan bertambah bebanan kerja apabila bekerja di rumah kerana perlu bekerja pada masa yang sama menguruskan hal anak-anak di rumah. Namun begitu, masyarakat perlu sedar akan kepentingan bersukan apatah lagi dalam situasi pandemik.

Pada masa kini, teknologi telah menjadi penghubung utama setiap individu dengan pelbagai bidang seperti pembelajaran, masakan dan begitu juga sukan. Banyak video yang kreatif dan inovatif tentang sukan dan senaman telah dicipta dan dimuat naik oleh segelintir  masyarakat. Ini adalah untuk penonton bersama-sama bergiat dalam aktiviti sukan walaupun bekerja di dalam rumah agar kesihatan mereka sentiasa terjamin.

Video-video tersebut juga merangkumi video senaman mudah tanpa peralatan dan boleh dilaksanakan di rumah bagi menggalakkan orang melakukan aktiviti sukan. Ia juga boleh diakses oleh semua orang seperti Facebook, Youtube dan Instagram.

Tambahan pula, senaman ringkas tersebut juga divariasikan bagi meningkatkan aras kesukaran menyebabkan aktiviti sukan lebih menarik untuk dilakukan oleh kebanyakan masyarakat.

JUMLAH PUNGUTAN MEDAL OLEH ATLET MALAYSIA DALAM SUKAN OLIMPIK

Kesimpulannya, sukan dan pandemik amat berkait antara satu sama lain. Pandemik merupakan satu situasi yang amat sukar dan perlu dihadapi oleh setiap golongan masyarakat.

Namun begitu, pandemik juga tidak boleh dijadikan punca sukan atau aktiviti fizikal di lupakan dan tidak dijalankan oleh masyarakat sedangkan ia merupakan perkara penting bagi setiap individu iaitu meningkat kan tahap imunisasi badan melalui aktiviti senaman.

Setiap golongan masyarakat perlu sedar bahawa diri sendiri adalah merupakan penggerak kepada aktiviti sukan samada atlet mahupun bukan atlet. Menjadikan sukan sebagai perkara asas dalam kehidupan seperti aktiviti berjalan perlahan, berjogging, basikal, golf dan lain lain tidak akan menjadikan sukan terkubur dalam pandemik.

Sebaliknya, sukan akan terus maju walaupun semasa pandemik. Amalan Kita Jaga Kita secara bersama adalah slogan yang sangat penting pada waktu ini.

Semoga setiap individu dapat menjaga kesihatan diri dengan baik dan berjaya melindungi diri daripada wabak virus Covid-19 yang melanda Malaysia.

Penulis Bersama,

1.Siti Nor Nadzirah binti Suhaime (A18PP0188)

Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Sains Sukan)

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM

2.Hadafi Fitri Mohd Latip (12124)

Timbalan Pengarah Sports Innovation Technology Centre,

Institute Human Centred Engineering UTM

Rujukan

Brand, R., Timme, S., & Nosrat, S. (2020). When Pandemic Hits: Exercise Frequency and Subjective Well-Being During COVID-19 Pandemic. Frontiers in Psychology, 0, 2391. https://doi.org/10.3389/FPSYG.2020.570567

Dr. Lee Yew Fong, MBBS, OHD, M. (2014). FAQs dan mitos mengenai COVID-19. National Cancer Society Malaysia, 6–7.

Ibrahim, S. Z., Razak, S. R. A., Mohamad, N., & Rosman, S. Z. (2021). Amalan Gaya Hidup Sihat Ketika Pandemik Covid-19 Memenuhi Tuntutan Maqasid Al-Syariah   [Healthy Lifestyle Practices During Pandemic Covid-19 Meet The Demands of Maqasid Al-Syariah]. Asian Journal of Civilizational Studies (AJOCS), 3(3), 1–15. Retrieved from http://www.ajocs.com/index.php/ajocs/article/view/73

Mutz, M., & Reimers, A. K. (2021). Leisure time sports and exercise activities during the COVID-19 pandemic: a survey of working parents. Brief Communication Ger J Exerc Sport Res, 51, 384–389. https://doi.org/10.1007/s12662-021-00730-w

Nazarudin, M. N., & Jepiridin, E. R. (2021). ADAKAH PANDEMIK COVID 19 AKAN MENJADI PENGAKHIRAN SUKAN PERMOTORAN DI MALAYSIA? Retrieved from https://oer.ums.edu.my:443/handle/oer_source_files/1444

Nazarudin, M. N., & Junaidi, L. (2021). SUKAN BOLA TAMPAR SEMASA COVID-19. Retrieved from https://oer.ums.edu.my:443/handle/oer_source_files/1446

Olimpik Tokyo wujud jawatankuasa khas tangani isu COVID-19. (n.d.). Retrieved August 20, 2021, from https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2020/10/748158/olimpik-tokyo-wujud-jawatankuasa-khas-tangani-isu-covid-19

Parry, J. (2018). Review View project Physical Education and Sport View project Sport, Ethics and Philosophy E-sports are Not Sports E-sports are Not Sports. https://doi.org/10.1080/17511321.2018.1489419

Rosli, S. N., & Muda, W. H. N. W. (2018). AMALAN GAYA HIDUP SIHAT PELAJAR UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA. Online Journal for TVET Practitioners. Retrieved from https://publisher.uthm.edu.my/ojs/index.php/oj-tp/article/view/4817

Sarimah Ismail, H. (2012). Profil Ruangan Sukan Dalam Akhbar Utusan Malaysia Dan Berita Harian. Jurnal Pengajian Media Malaysia, Volume 13(Issue 2).

Explore More