April 29, 2024

Search
Close this search box.

Jalinan Kerjasama Universiti-Industri UTM-CEP-Uniqconsult bukti UTM Dukung Aspirasi IR 4.0

Tanggal 3 Ogos 2021 menjadi hari yang bersejarah buat dua syarikat; CEP Training Centre Sdn. Bhd. dan Uniqconsult Management & Services, apabila memeterai Surat Kolaborasi – Letter of Collaboration – dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pandemik Covid-19 jelas tidak mematahkan semangat dua syarikat ini untuk bekerjasama dengan UTM dan dibuktikan dengan majlis yang berlangsung secara online pada tarikh tersebut melalui pautan Zoom.

Majlis Menandatangani Surat Kolaborasi (Letter of Collaboration) UTM-CEP-Uniqconsult telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM; Prof. Dr. Rosli Bin Md Illias.

CEP Training Centre Sdn. Bhd. pula telah diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Hj. Mohd. Fauzi Bin Hashim dan Ts. See Chee Latt selaku Pengarah Uniqconsult Management Sdn. Bhd. CEP Training Centre Sdn. Bhd. ialah sebuah syarikat perundingan (konsultansi) latihan dan Uniqconsult Management & Services menceburi ke pasaran antarabangsa dalam latihan dan pendidikan.


Dua kolaborasi ini bertujuan untuk memupuk kerjasama di antara UTM dengan industri yang terlibat khususnya bersama Pusat Kualiti dan Kelestarian Genichi Taguchi (Genichi Taguchi Centre for Quality and Sustainability), atau ringkasnya disebut Taguchi Centre di bawah Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) dalam bidang kejuruteraan kualiti dalam mendukung aspirasi revolusi industri (Industry Revolution) IR 4.0.

Ts. Dr. Rozzeta Dolah selaku Penyelaras Taguchi Centre menyifatkan kolaborasi ini sebagai tunjang mengembangkan ilmu kejuruteraan kualiti kepada industri bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara Asia yang lain terutamanya Indonesia dan India. CEP Training Sdn. Bhd. setakat ini telah mengaturkan pertemuan bersama YB Menteri Kanan Kementerian Kerja Raya, Construction Industry Development Board (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai inisiatif menjalankan kursus jangka pendek bersama Taguchi Centre.

Manakala Uniqconsult Management & Services kini giat berusaha mendapatkan kelulusan HRD Corp (Human Resource Development Corporation- dulu dikenali sebagai HRDF) untuk menggalakkan latihan secara online dalam menghadapi pandemik Covid19 sebagai kursus Latihan awam.

Kedua-dua syarikat ini akan menghubungkan UTM dengan pihak industri dan badan-badan kerajaan khususnya untuk mengadakan kursus pendek dan latihan mempelajari Kaedah Taguchi (Taguchi Method). Kaedah Taguchi adalah kaedah statistik atau dipanggil kaedah rekabentuk mantap yang diasaskan oleh Dr. Genichi Taguchi untuk meningkatkan kualiti barangan produk atau proses dengan mengurangkan atau menghapuskan variasi data taburan.

Kaedah Taguchi menyumbangkan tiga faedah utama, iaitu: (1) Taguchi Loss Function yang bermaksud kualiti berkadar terus dengan sejauh mana sesuatu data itu berserak dari sasaran; (2) Falsafah Off-line quality control; (3) Kesinambungan kaedah Design of Experiments (DOE) untuk memudahkan aplikasi dan praktikal dalam menyelesaikan masalah sesuatu produktiviti.

LoC ini membuktikan komitmen dinamik UTM seperti yang termaktub dalam Envision UTM 2025 iaitu memupuk hubungan strategik antara universiti, industri, kerajaan dan komuniti bagi mengekalkan pertumbuhan universiti yang dinyatakan di bawah perkara S5 – (Nurture Strategic Nexus between University-Industry-Government-Community).

Penjenamaan FTIR dan UTM di persada industri juga amat diharapkan sebagai hasil kolaborasi ini di samping penjanaan pendapatan melalui kursus-kursus dan industry coaching yang akan dijalankan bersama Taguchi Centre dan UTM.

Explore More