April 29, 2024

Search
Close this search box.

UTM Ketuai Sinergi Bersama 4 UA Pulihara dan Lestarikan Sungai Kim-Kim Melalui Inisiatif ‘University for Society’

Johor Bahru, 29 Jul. — Webinar U4S: Kelestarian Sungai Kim Kim dan Masyarakat anjuran bersama Universiti Teknologi Malaysia dan tiga lagi universiti awam dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi telah meraih tontonan sebanyak 12,877 penonton.

Webinar tersebut dianjurkan seiring dengan sinergi empat universiti awam diketuai oleh UTM yang akan memulihara dan membangunkan semula Sungai Kim-Kim melalui inisiatif University for Society (U4S) atau Universiti untuk Masyarakat.

Melalui inisiatif tersebut, UTM sebagai Ketua Zon Selatan bersama-sama Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melestarikan Sungai Kim-Kim dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat yang terjejas akibat tragedi pencemaran pada 2018.

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti & IndustriUTM, Prof Madya Dr Johari bin Surif berkata projek yang dipanggil U4S Zon Selatan; Kelestarian Sungai Kim-Kim ini memfokuskan kepada agenda kelestarian alam sekitar dan pembangunan masyarakat yang agak kritikal buat masa kini di daerah Pasir Gudang, Johor.

Beliau berkata demikian semasa menjadi moderator kepada Program Webinar secara dalam talian iaitu U4S: Kelestarian Sungai Kim Kim dan Masyarakat melalui platform Facebook Live Page KPT dan UTM CCIN.

Webinar tersebut menampilkan panel dari 4 UA yang terlibat iaitu Ketua Projek Eco Park Sungai Kim-Kim dari UTM, Prof Madya Ts Dr Mohd Hisyam bin Rasidi, Ketua Projek Conserve the Nature, Love The River dari UTHM, Dr Azra Munirah binti Mat Daud, Ketua Projek Smart River Challenge dari UTEM, Prof Madya Ts Dr Effendi bin Mohamad dan Ketua Projek Psychological First Aid Guide dari USIM, Dr Mohd Hafiz bin Jaafar.

Wacana webinar U4S ini memaparkan perbincangan isu semasa bagi memanfaatkan segala pengetahuan dan usaha bersama masyarakat dan industri sekitar.

“Projek U4S Zon Selatan; Kelestarian Sungai Kim-Kim ini adalah hasil usahasama kepakaran empat buah universiti, iaitu UTM, UTeM, UTHM dan USIM bagi memelihara, memulihara seterusnya melestari sungai, yang merupakan nadi kehidupan manusia.

Selaras dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) universiti, UTM akan menyumbangkan kepakaran dari aspek “eco-park” dan “nature river engineering” dengan menjalankan pembangunan Taman Eko di Sungai Kim Kim,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, UTHM memfokus ke arah skop mendidik masyarakat sekitar melalui program pendidikan sungai dengan tema ‘Conserve the Nature, Love the River’.

UTeM pula membantu dari segi program pemindahan aspek pengetahuan dan teknologi di dalam “Smart River Robot Challenge” dengan mencipta robot pembersihan dalam sungai manakala USIM pula membantu dari segi menstabilkan emosi dan semangat masyarakat yang terlibat melalui pelbagai program latihan (training) seperti “Psychological Aid Guide” kepada para guru dan pelajar.

“Pasukan U4S Zon Selatan juga turut bekerjasama dengan para pemegang taruh lain yang turut memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk, seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang serta industri-industri sekitar untuk bersama-sama berganding bahu memastikan perubahan kesejahteraan alam sekitar ke arah kebaikan dan keharmonian masyarakat bersama.

Pelaksanaan program U4S ini menyahut “Redesign University Higher Education: University, Industry and Community Engagement”, dan juga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025 di mana “Quadruple Helix Engagement Model” menjadi paksi utama kepada konsep U4S.

Model ini akan menjamin kelestarian hubungan antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti dan akan memberi kesan langsung (outcome) kepada masyarakat dalam bentuk perubahan pengetahuan (ilmu), sikap, kemahiran dan aspirasi (KASA); akan dapat mewujudkan produk/perkhidmatan baharu yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui peningkatan nilai komersial dan penciptaan kekayaan,”kata beliau.

Explore More