November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Jul. — Suasana ceria mewarnai hari pertama operasi Pusat Pemberian Vaksin ( PPV) Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Integrasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini.

Operasi PPV IPT Integrasi UTM pada hari ini berjalan lancar dengan melibatkan penduduk dari sekitar Daerah Johor Bahru dan Daerah Kulai mendapat suntikan dos pertama vaksinasi Covid-19.

Bagi salah seorang warga Johor Bahru dari Johor Jaya, Tan Sing Luwi,62 berkata beliau berpuas hati dengan perkhidmatan di PPV UTM.

“Semuanya okay kerana selesai dengan cepat,” kata beliau dengan harapan semuanya juga akan berjalan lancar.

Kelancaran operasi tersebut juga disambut baik oleh warga Johor Bahru dari Kampung Pasir, Zabedah binti Mat Sih, 62.

Beliau berkata, urusan vaksinasi berjalan dengan baik dan selesai dalam masa kira-kira 1 jam sahaja.

Ini menunjukkan petugas dan sistem di PPV IPT Integrasi UTM berjalan dengan baik dan pantas.

Salah seorang petugas PPV yang merupakan pelajar Fakulti Sains, Viganeswaran Rau, 23 berkata keputusan menjadi sukarelawan adalah dibuat setelah melihat UTM dilantik menjadi PPV.

“Saya memang berada di UTM dan tidak boleh balik kerana tugasan akademik.

Oleh itu menjadi sukarelawan memberikan peluang kepada saya untuk sekurang-kurangnya membantu dan berkhidmat kepada negara dan universiti, ” kata beliau yang menjadi petugas penyambut dan penunjuk arah.

Menurut beliau, walaupun menjadi sukarelawan agak penat, namun itu membuatkan beliau memahami kesukaran petugas barisan hadapan selain menyifatkan pengalaman ini tiada galang ganti.

Viganeswaran Rau semasa bertugas

Bagi Nur Sabrina binti Amaza, 23 dari Fakulti Sains dan rakan beliau Mohamad Ruzaiman dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan pula, menjadi petugas sukarelawan adalah untuk mengisi masa kerana berada di kampus untuk tujuan akademik.

“Perasaan jadi sukarelawan memang penat tapi seronok kerana bukan sekadar menambah pengalaman malah boleh turut berkhidmat kepada negara,” kata beliau yang menjadi petugas di Kaunter Saringan.

Nur Sabrina ( kanan) semasa membantu salah seorang penerima vaksin

Explore More