JOHOR BAHRU, 11 Julai – Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima lantikan dua ahli baharu baru-baru ini. Pelantikan ini telah dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selaras dengan peruntukan Seksyen 17 Perlembangan UTM.
Lantikan ahli LPU baharu tersebut melibatkan YBrs. Puan Dzuleira Abu Bakar dan juga YBhg. Datuk Ir. Dr. Hj. Hamim Samuri untuk tempoh tiga tahun bermula 12 Julai 2021 hingga 11 Julai 2024.
Dzuleira kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd berkuatkuasa dari 15 April 2021.
Memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dzuleira kemudiannya menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana di Universiti Malaya (UM) sehingga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Pengurusan.
Sebelum dilantik sebagai CEO di Technology Park Malaysia, Dzuleira berkhidmat sebagai CEO di Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertanggungjawap menyuburkan ekosistem kreativiti dan inovasi di Malaysia.
Sebelum bertugas baru di MaGIC, Dzuleira memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Cradle Seed Ventures (CSV), sebuah cabang perniagaan kepada pemodal berpengaruh Malaysia, Cradle Fund Sdn Bhd.
Di CSV, Dzuleira ditugaskan untuk mencari peluang perniagaan berteknologi tinggi di negara-negara berdekatan dengan Malaysia.
Dzuleira juga pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden (Pelaburan) di Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) dan juga pelbagai lagi jawatan penting berkaitan pelaburan di pelbagai entiti multinasional seperti Usaha Tegas Management, Maybank Investment Bank dan juga Khazanah Nasional.
Sementara itu, Datuk Ir. Dr. Hj. Hamim Samuri pula memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Awam dari University of Glasgow, United Kingdom.
Pada tahun 2013, beliau memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kemudiannya menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Pembangunan juga dari Universiti Utara Malaysia pada tahun 2016.
Merupakan mantan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015-2018), Dr Hamim juga pernah bertugas di Jabatan Kerja Raya (JKR) dari tahun 1979 hingga 1993, Setiausaha Sulit Menteri Belia dan Sukan (1995-1996) seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perindustrian Antarabangsa dan Industri (MITI) dari tahun 2013-2015.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan seluruh warga universiti mengucapkan syabas atas pelantikan ini. Semoga perlantikan keduanya bakal menyumbang dan membawa UTM ke arah pencapaian organisasi yang lebih cemerlang.