April 28, 2024

Search
Close this search box.

Pelantikan KALAM UTM Sebagai Perunding Projek Pemuliharaan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti Sebuah Pengiktirafan

NEGERI SEMBILAN, 21 Sept. —  Pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah melantik Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu UTM (KALAM) sebagai perunding bagi projek pemuliharaan Rumah Tukang Kahar dengan nilai RM247,000.00 yang akan berlangsung selama empat bulan bermula 17 September 2019 sehingga 16 Januari 2020.

Projek ini diketuai oleh YM PM Dr Raja Nafida Binti Raja Shahminan bersama barisan penyelidik UTM yang terdiri daripada Prof Dr Syed Ahmad Iskandar Bin Syed Ahmad Ariffin, PM Dr Mahmud Bin Mohd Jusan, Ar Noraslinda Binti Abdul Rahman, Dr Aiman Bin Mohd Rashid, Dr Fadhlina Binti Ahmad@Taufiq dan semua kakitangan KALAM.

Selain itu, ia melibatkan kepakaran-kepakaran khusus seperti Pakar Seni Bina Vernakular, Pakar Seni Bina Melayu, Pakar Psikologi Persekitaran, Pakar Kelestarian Warisan, Arkitek, Arkitek Landskap, Pandai Kayu, Konservator serta penyelidik-penyelidik warisan seni bina.

Ia diperkukuhkan lagi dengan jalinan kerjasama antara UTM bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan NTQT sebagai pakar konservasi. Kepentingan projek ini bukan sahaja melibatkan kajian, malah sehingga pembinaan fizikal bangunan yang akan berfungsi sebagai artifak warisan untuk tumpuan pelancong.

Barisan pakar penyelidik di hadapan seni bina Rumah Tukang Kahar yang masih dalam pembinaan.

Pengarah KALAM, YM PM Dr Raja Nafida Binti Raja Shahminan menerima Surat Setuju Terima daripada En. Aziz Bin Ghorib, Kurator Muzium Negeri Sembilan sebagai wakil Pengarah Muzium Negeri Sembilan.

Istana Lama Seri Menanti adalah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Dibina pada 1902 dan siap pada tahun 1908 kerana Istana Pulih telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus.

Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang DiPertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama. Istana ini setinggi empat tingkat.

Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato’ Panglima Sutan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari JKR, Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Projek pemuliharaan Rumah Tukang Kahar (RTK) ini adalah usaha murni pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan untuk menyelamatkan sejarah yang berkait rapat dengan pembinaan Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan. RTK ini dibina dan diukir sendiri oleh Tukang Kahar bersama seorang rakannya sebelum pembinaan Istana Lama Seri Menanti.

Kini, RTK sedang dibaikpulih di Kawasan Istana seri Menanti. Tapak asalnya adalah di tebing Sg. Seri Menanti yang menghadap ke sungai dan sawah padi di Kampung Tengah, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan. Rumah ini dimiliki oleh Kahar bin Siak Bakhi yang mewarisi kepakaran bapanya seorang tukang kayu daripada Acheh. Beliau pernah dilantik sebagai Dato’ Lembaga yang pertama bagi suku Seri Lemak Pahang. Pembinaan RTK ini berlaku pada tahun 1880-an.

Ruangan dalam rumah kajian terdiri daripada rumah tangga, serambi, rumah ibu, kelek anak, pelantar dan rumah dapur. Bahan binaannya daripada kayu penak, cengal dan atap rumbia. Terdapat 34 jenis ukiran pada serambi, pangkal dan hujung tiang, tangga, kepala pintu, bendul pintu, bingkai pintu, bingkai atas dinding, kasau dan juga dinding. Ukirannya bermotifkan flora, fauna, geometri dan kejadian alam (bintang dan lidah api).

Perbincangan di antara Pakar Seni Bina Vernakular, Pakar Seni Bina Melayu, Pakar Psikologi Persekitaran, Arkitek, Pakar Kelestarian Warisan, Arkitek Landskap, Pandai Kayu, Konservator serta penyelidik-penyelidik warisan seni bina mengenai perancangan skop kerja projek.
Lawatan tapak dilaksanakan untuk melihat dengan lebih dekat dan terperinci mengenai pembinaan Rumah Tukang Kahar.

 

Disediakan Oleh: Ar Noraslinda Binti Abdul Rahman

Explore More