Disember 27, 2024

Jumlah pengunjung paling ramai sepanjang sejarah penganjuran

 

JOHOR BAHRU, 16 Sept. —  Karnival Kelab, Persatuan & Badan Uniform yang berlangsung selama dua hari bermula 16 hingga 17 September 2019 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru melabuhkan tirainya dengan catatan jumlah pengunjung paling ramai sepanjang sejarah penganjurannya.

Catatan jumlah pengunjung yang mencecah hampir 5,000 orang ini jauh melebihi sasaran asal yang ditetapkan iaitu iaitu 3,000 orang.

Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib berkata karnival ini merupakan antara inisiatif pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dalam menambahbaik ekosistem yang menyokong pembangunan pelajar UTM selaras dengan KPI seorang pelajar terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga aktiviti setahun.

“Peningkatan jumlah pengunjung hampir 80 peratus ini merupakan satu pencapaian membanggakan kepada Jabatan HEP selaku penganjur program.

Antara faktor lain mungkin ia dijalankan pada hari cuti umum Hari Malaysia yang juga jatuh pada tarikh 16 September 2019 dan pelajar baru tidak terlibat dengan sebarang aktiviti kuliah dan akademik,” ujarnya lagi.

Pegawai penyelaras karnival, Ahmad Najahalhayyi Zulkifli berkata, antara kejayaan lain penganjuran program ini ialah jumlah pendaftaran ahli baru dicatatkan oleh semua kelab dan persatuan yang menyertai booth pameran iaitu keseluruhan sebanyak 5470 orang dan masih ramai lagi dijangka mendaftar selepas tarikh karnival.

Bertepatan dengan objektif karnival yang mensasarkan pelajar baru khasnya untuk mendaftar keahlian di dalam kelab,persatuan dan badan beruniform di UTM, karnival ini turut menjadi ibarat ‘medan pertempuran’ kepada semua booth pameran kerana mereka perlu bersaing dengan kelab/persatuan lain untuk merekrut ahli baru dalam kalangan pengunjung.

Selain booth pameran, pelbagai aktiviti dilaksanakan oleh peserta antaranya demonstrasi silat, pameran senjata api dan alatan ketenteraan, tayangan video promo, pertunjukan robocon, permainan Yo-yo Cina juga dikenali sebagai Diabolo serta banyak lagi gimik menarik.

Demonstrasi silat antara yang mencuri tumpuan
Demonstrasi diabolo oleh Sekretariat Pesta Tanglung
Pelajar antarabangsa juga tidak ketinggalan

Cuaca panas dan jerebu di luar pekarangan Dewan Sultan Iskandar pula tidak menghalang ribuan pengunjung beratur panjang untuk menikmati juadah istimewa daripada jualan ala food truck yang beroperasi sepanjang karnival berlangsung. Pelbagai juadah istimewa disediakan oleh peniaga antaranya, nasi lemak, bebola daging, burger, ayam goreng, pelbagai kuih muih tradisional dan minuman citarasa masakini seperti Chocolate Frappe, Matcha Green Tea dan Kinda Bueno.

Cuaca panas bantu jualan minuman ‘genarasi masakini’

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga dikejutkan dengan ‘hadiah’ topeng muka percuma yang diedarkan oleh Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) UTM yang diketuai oleh pelajar tahun 3 Sarjana Muda Kej Awam, Muhammad Naufal Alghiffary.

Pasukan PMI UTM memilih karnival ini sebagai medan untuk mereka mengedarkan kira-kira 1000 topeng untuk aktiviti mereka yang dinamakan #Gerakan1000Masker.

Hadiah topeng muka percuma oleh Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) UTM yang diketuai oleh pelajar tahun 3 Sarjana Muda Kej Awam, Muhammad Naufal Alghiffary (berbaju merah)

Bagi Chobnaa A/P Kanaseelanayagam yang juga Timbalan Presiden UTM Robocon, beliau sangat teruja dengan kehadiran pengunjung yang ramai kali ini. UTM Robocon sendiri telah berjaya menarik 300 pendaftaran menyertai workshop mereka yang akan diadakan pada 27-28 September 2019. “Workshop tersebut akan dipenuhi dengan ilmu-ilmu asas robotik  seperti asas programming, elektronik dan mekanikal dan harapan kami ia dapat memupuk rasa ingin tahu dalam kalangan peserta,” tambah beliau lagi.

Pasukan UTM Robocon

Timbalan Pengarah Pengurusan E-Sports Club of UTM, Noor Athirah Syazana Mat Noor berkongsi rasa gembira atas kejayaan pengambilan ahli baru seramai 412 orang dengan anggaran pengunjung yang datang ke booth berjumlah hampir 800 orang. Antara aktiviti di booth ialah ceramah berkaitan e-Sports dan paparan aktiviti kelab bersama Kementerian Belia & Sukan serta Majlis Sukan Negeri Johor.

“Kami juga menyediakan tempat serta komputer untuk pengunjung bermain FIFA setelah penat berjalan mengunjungi pelbagai booth pameran di Dewan Sultan Iskandar,” tambah beliau lagi sambil sambil tersenyum bangga.

Kelab E-Sports UTM pimpinan Noor Athirah Syazana Mat Noor (3 dari kiri) berjaya raih pengambilan ahli baru seramai 412 orang

Selain cabutan bertuah penganjur juga menyediakan beberapa anugerah untuk booth pameran yang menampilkan keunikan tersendiri.

Booth badan beruniform terbaik dimenangi oleh Palapes Darat, booth kelab akademik terbaik oleh Kelab IEM, booth kelab bukan akademik terbaik oleh Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) manakala Kelab SRC yang menerima jumlah pengunjung tertinggi mengungguli kategori booth paling gempak.

Kelab SRC mengungguli kategori booth paling gempak menerima hadiah dari Penyelaras karnival, Ahmad Najahalhayyi Zulkifli

 

Explore More