November 27, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 Sept. — Para mahasiswa baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diingatkan supaya sentiasa mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang mengikuti pengajian di universiti ini.

Ini bagi membantu mengekalkan rekod pencapaian cemerlang UTM sebagai Universiti Penyelidikan (RU) dan salah sebuah universiti terunggul di Malaysia.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dalam ucapannya turut menegaskan bahawa mahasiswa baharu yang terpilih untuk menyambung pengajian ke UTM seharusnya merasakan bersyukur di atas kejayaan tersebut.

“Status terkini UTM sepertimana yang disenaraikan di penilaian universiti dunia adalah berada di kedudukan 217 mengikut takrifan penilaian QS World University Ranking 2020.

“Angka 217 ini adalah untuk penilaian tahun 2020 dan menunjukkan anjakan ketara iaitu 228 untuk tahun 2019, 253 tahun 2018, 288 untuk tahun 2017 dan 2016 yang lalu kita berada di tempat ke 303,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, segala pencapaian ini tidak mungkin tercapai jika UTM tidak punyai sebarang rekod kecemerlangan dalam pelbagai lapangan bidang yang dinilai dan juga tidak mengekalkan rekod pencapaian terbaik yang pernah dicapai.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan aluan kepada seramai 3,780 mahasiswa baru UTM sesi 2019/2020 dalam majlis ‘An Evening with Vice-Chancellor’ yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus, Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin dan juga Pengarah Program 3M, Mohd. Iqbal Shapie.

UTM juga menurutnya telah melaksanakan pembangunan mahasiswa yang lebih holistik dan lebih menyeluruh bagi menghasilkan sumber manusia yang berkualiti untuk membangunkan negara pada masa hadapan.

“Universiti ini sebenarnya menyediakan anda untuk menjadi modal insan yang berkualiti di masa hadapan.

“Untuk ini, insyallah jika anda bergraduat kelak, anda akan mempunyai beberapa kemahiran berikut seperti kemahiran berkomunikasi, berfikir, kepimpinan dan bekerjasama dalam kumpulan dan juga boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan,” katanya.

Graduan UTM juga menurutnya boleh menjadi warganegara global dan juga mempunyai semangat keusahawanan.

Naib Canselor bergambar kenangan dengan mahasiswa baharu UTM sesi 2019/2020
Prof. Wahid (kiri) melambai tangan ke arah kumpulan mahasiswa baru UTM sesi 2019/2020 ketika meninggalkan dewan sebaik tamat sesi perjumpaan semalam.

Prof. Wahid bertegur sapa dengan salah seorang mahasiswa baru UTM sesi 2019/2020 yang terdiri dari Orang Kurang Upaya (OKU)

Explore More