Disember 27, 2024

Program INNO-NATION STEM CHALLENGE Memupuk Minat Terhadap Robotik di Kalangan Pelajar Sekolah

PULAU PINANG, 28 Jul. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Kuala Lumpur telah menganjurkan Program Inno-Nation STEM Challenge bertempat di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang pada 28 Julai yang lalu.

Seramai 64 orang pelajar sekolah menengah dari SMT Batu Lanchang, MRSM Balik Pulau, Madrasah Nikmat Iman Butterworth telah menyertai program tersebut.

Pada sebelah pagi, pelajar-pelajar ini menyertai bengkel robotic menggunakan Arduino manakala sebelah petang telah diadakan pertandingan di mana pelajar dibahagikan secara berkumpulan.

Semua kemahiran yang dipelajari pada bengkel sebelah pagi diterapkan di dalam pertandingan bertemakan ‘explorace’ seperti pengaturcaraan, elektronik, penyelesaian masalah, dan kepimpinan dalam aplikasi LED Smarthouse, RC Sumo, Robot Arm, Unity Tower dan Catapult.

Pada hari tersebut juga diadakan Majlis Perasmian Penutupan Program Inno-Nation STEM Challenge 2019 yang bertempat di Kompleks Cahaya Siswa, USM Pulau Pinang disempurnakan oleh Encik Mohd Shafie Bin Ariffin, Penggawa Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan USM diiringi oleh Puan Sohailah Safie, Pegawai Penyelidik dari Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM, Saudara Sri Prasaad A/L Sri Ghanesan, Pengarah Program Inno-Nation STEM Challenge UTM, dan Saudara Jegan Nair A/L Sukumaran, Pengarah Program Inno-Nation STEM Challenge USM.

 

Penganjuran program ini dilaksanakan oleh sekumpulan 35  ahli Kelab Penyelidikan dan Inovasi UTMKL (RIC)  yang diketuai oleh Sri Prasaad A/L Sri Ghanesan iaitu pelajar tahun ketiga Diploma Kejuruteraan Mekatronik.

Ahli-ahli jawatankuasa program adalah rata-rata terdiri daripada pelajar tahun kedua diploma dari pelbagai jurusan di UTM.

Program Inno -Nation STEM Challenge adalah salah satu projek yang diluluskan oleh Pejabat Hal-Ehwal Pelajar UTMKL di bawah skim Program Pembangunan Pelajar. Sebelum ini, program ini telah melaksanakan fasa pertama di Johor Bharu dan kedua di Cameron Highlands, di mana penganjuran kali ini adalah fasa ketiga di Pulau Pinang.

Pelaksanaan program ini adalah berlandaskan objektif untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah khususnya di luar bandar mengenai kemahiran kejuruteraan dan robotik berasaskan Arduino.

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di bawah program ini diharap bukan sahaja dapat meningkatkan minat dan pengetahuan pelajar sekolah dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik umumnya, malah dapat menerapkan kemahiran penyelesaian masalah secara kreatif dan inovatif berasaskan robotik khususnya.

Explore More