November 26, 2024

Search
Close this search box.

Program Pencarian CEO Masa Hadapan Dilancarkan di UTM Residency Kuala Lumpur

 

JOHOR BAHRU, 1 Ogos — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil sebagai universiti yang mana pelajarnya merupakan paling ramai iaitu berjumlah 24 orang daripada 37 jumlah pelajar yang dipilih untuk menjalani latihan selama 10 hari menerusi program Axiata Young Talent Programme Universiti Leadership Development Programme (ULDP) 2.0.

Melalui program tersebut, Axiata memperuntukkan RM13,000 bagi seorang pelajar dan jumlah peruntukan untuk pelajar UTM sahaja adalah RM312,000.

UTM merupakan universiti pertama yang menjalinkan kerjasama dengan Axiata.

Program yang akan bermula pada 1 Ogos 2019 ini melibatkan 37 orang pelajar dari beberapa universiti awam antaranya Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Sesi pelancaran Axiata Young Talent Programme ULDP 2.0 Tahun 2019 telah berlangsung pada 31 Julai 2019 bertempat di The Royal Widad Residence@UTMKL di mana perasmiannya disempurnakan oleh Datin Seri Badrunnisa Mohd Yasin Khan, Group Chief Axiata Learning, Axiata Group Berhad.

Axiata Young Talent Programme ULDP merupakan salah satu daripada tiga program utama yang ditawarkan di bawah program Axiata Young Talent Programme bagi melahirkan para pemimpin masa hadapan yang berkaliber dan berwawasan tinggi untuk menerajui pelbagai sektor kritikal yang terdapat di Malaysia. Axiata Young Talent Programme (AYTP) juga merupakan satu platfom pembangunan bakat muda untuk menjadi CEO pada masa hadapan.

Salah satu inisiatif yang dibangunkan melalui AYTP adalah program pembangunan kepimpinan perniagaan gaya ‘musim panas’ yang memberi penekanan terhadap sahsiah diri, kemahiran kritikal dan kompetensi kepimpinan yang diperlukan untuk menjadi CEO bertaraf dunia.

Dato’ Barkhiya Shahiruddin dalam ucapan perasmiannya berkata, program khas Axiata Young Talent Programme ULDP 2.0 ini bertujuan untuk memperkasakan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa universiti awam yang terpilih. Jelas beliau lagi, ianya turut menyentuh aspek kemahiran dan pengetahuan kritikal yang diperlukan oleh pemimpin masa hadapan.

“Para mahasiswa yang terpilih akan menyertai kursus pendek selama 10 hari yang dianjurkan dan ditaja sepenuhnya oleh Axiata Foundation menerusi sesi kepimpinan dan pengetahuan dari wakil syarikat terkemuka di Malaysia untuk melatih mereka menjadi pemimpin yang hebat bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada kepakaran luar.

Pesanan penting saya kepada peserta ialah pastikan anda terlibat sepenuhnya di dalam setiap sesi ibarat bertanding di dalam gelanggang, sekadar menjadi pemerhati bermakna anda akan hilang satu peluang besar,” tambahnya lagi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar ) UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus menyeru semua peserta supaya memberikan segalanya sepanjang mengikuti program ini dan menjadi Bakat Global (Global Talent), slogan yang sering kali dilaungkan kepada para mahasiswa UTM khasnya.

“Adalah sangat penting untuk semua peserta menonjolkan bakat masing-masing. Rebutlah peluang keemasan ini selain pada masa yang sama menikmati detik-detik sepanjang ‘Axiata University Leadership Development Programme (ULDP)’ dijalankan,” ujar beliau lagi.

Ong Jia Eek

Salah seorang peserta terpilih, Ong Jia Eek yang juga anggota Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM berima kasih kepada kepada Axiata kerana mewujudkan program ULDP yang mampu melahirkan bukan sahaja  pemimpin akan datang malah pemimpin di masa sekarang.

“Saya berasa bersyukur dan bertuah kerana dapat dipilih sebagai salah  seorang peserta bagi ULDP  kohort 8 ini dan berharap ia mampu mencetus inspirasi kepada mahasiswa lain mengikuti program ini di masa akan datang” kata beliau lagi.

Bagi seorang lagi wakil UTM, Nazran Afiq Ismadi yang sedang mengikuti latihan industri di Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. Di Lapangan Terbang Kerteh, Trengganu, peluang menyertai program seumpama ini ibarat datang sekali dalam hidup dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya. “Matlamat saya jelas iaitu ingin menjadi yang terbaik di sini,”

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Dato’ Barkhiya Shahiruddin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Mahasiswa Holistik, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Prof. Dr. Hj. Ismail Hj. Bakar, Ahli Lembaga Amanah Axiata Foundation, Rohaiza Ahmad, Head of Corporate Social Responsibility, Axiata Group, Prof. Dr. Ali Selamat, Dekan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan Hj. Dahari Derani, Timbalan Pendaftar Kanan HEP, UTM.

Explore More