November 18, 2024

Search
Close this search box.

Meminimakan UTM dalam hal perundangan jadi keutamaan tugas – Pengarah PPUU

JOHOR BAHRU, 8 Jul. — Keutamaan terkini bagi Pejabat Penasihat Undang-Undang (PPUU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah untuk meminimakan risiko universiti daripada terlibat dengan proses perundangan dan pengadilan di mahkamah.

Keutamaan ini harus dilihat sebagai satu kewajipan kerana nama dan kredibiliti UTM sebagai sebuah universiti terulung di Malaysia pasti akan tercalar sekiranya perlu menghadapi proses perundangan di mahkamah.

Pengarah PPUUUTM, Prof. Madya Dr. Nur Emma Mustaffa berkata sebagai entiti tunggal yang diberikan tanggungjawap mengurus segala hal-ehwal perundangan sudah semestinya menjadi tanggungjawap utama bahagian itu bagi ‘melindungi’ UTM dari segala risiko dalam aspek perundangan.

“Ini amat penting kerana kita tidak mahu masyarakat serta rakan-rakan kongsi kita merasakan sangsi terhadap etika profesionalisme UTM sebagai komuniti universiti yang dianggap sebagai ‘bertamadun’ dan tinggi tahap keintelektualannya,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara di pejabatnya yang terletak di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Untuk rekod, Dr. Nur Emma merupakan individu pertama yang dilantik untuk memegang portfolio itu sejak diwujudkan pada pertengahan tahun ini.

Dr. Nur Emma berkata selain dari sasaran utamanya iaitu mengurangkan risiko perundangan terhadap UTM, PPUU juga akan melihat kembali empat fungsi asasnya yang utama iaitu Penasihatan dan Gubalan Undang-Undang, Litigasi dan Kontrak, Aset & Harta Tanah serta Integriti, Tatatertib dan Surcaj.

“Saya akan melihat kembali keempat-empat fungsi ini dan akan memperkemaskannya dari semasa ke semasa.

“Pihak PPUU juga merancang untuk mengatur pertemuan dengan persatuan-persatuan yang mewakili staf seperti Kesatuan Kakitangan Am (KKA), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS), Persatuan Kakitangan Akademik (PKA), Persatuan Kakitangan Bukan Akademik (PERKABA) dan juga Badan Kebajikan Staf UTM (BAKES),” katanya.

Selanjutnya Dr. Emma berkata PPUUUTM juga akan mengukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini bagi membolehkan wakil-wakil dari agensi-agensi ini dijemput ke UTM bagi memberikan ceramah dan dialog dengan staf dan mahasiswa sekaligus memberikan pendedahan yang secukupnya kepada komuniti UTM,” katanya lagi.

Explore More