April 28, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar UTM 5ETP Teras Kemerlangan Sukan Aset Penting Pasukan Kebangsaan

Pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Sains Sukan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Noor Azilah Aziz mencuri tumpuan minggu lalu dengan kejayaannya menjadi antara tonggak utama pasukan bola jaring negara yang menjuarai Asian Youth Championship 2019 di Kahsima, Jepun.

Noor Azilah juga merupakan pelajar Program ‘signature’ UTM 5 Excellence Tracks Programme (5ETP) dalam Teras Kecemerlangan Sukan.

Baru-baru ini, Noor Azilah turut dimahkotakan Johan bagi Kategori Sukan dan Kebudayaan dalam Anugerah Ikon Siswa Johor yang dilangsungkan di Pulai Springs, Johor Bahru.

Majlis yang meraikan pencapaian cemerlang projek social entrepreneurship siswa Johor di IPT seluruh negara itu telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Dr Sahruddin bin Jamal, Menteri Besar Johor dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains Dan Teknologi,  YB Tuan Haji Aminolhuda bin Haji Hassan.

Dilahirkan pada 9 September 1998, beliau merupakan pemain serba boleh yang mampu beraksi di beberapa  posisi antaranya Goal Defence (GD), Goal Keeper (GK) dan Wing Defence (WD). Beliau merupakan produk yang mula dikesan bakatnya ketika usia belasan tahun dan pernah diberikan penghormatan mengetuai pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada 2015.

Mengecapi pelbagai kejuaraan seperti Tri Nation di Hong 2013 dan 2014, Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia di Brunei 2013,  Kejohanan Bola Jaring Asia ke-10 di Thailand 2016, Four Nation di Hong Kong 2019 dan Sri Lanka Invitational Netball di Colombo 2019. Selain itu beliau juga sebahagian daripada pemain yang terlibat dalam kejohanan-kejohanan bersar lain seperti Kejohanan Bola Jaring Asia di Singapura 2014, Sukan SEA ke-28 di Singapura 2015, Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia di Korea 2017, Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia di Bostwana 2017, Nations Cup di Singapura 2017 dan Kejohanan Bola Jaring Asia di Singapura 2018.

Di peringkat kebangsaan anak muda ini merupakan ‘regular player’ yang sering mendapat panggilan jurulatih-jurulatih kebangsaan sepeti Tracy Robinson, Aminah Asaari dan Huslina Mohd Hussin. Beliau mula mendapat panggilan skuad senior pada 2013 untuk beraksi dalam Kejohanan 3 Negara (Tri Nation) di Hong Kong dan sehingga ini Noor Azilah sudah membuat sebanyak 73 penampilan dalam perlawanan peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini, Malaysia dimahkotakan juara remaja Asia selepas menewaskan Singapura 57-48 pada aksi final Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia 2019 yang berlangsung di Kashima, Jepun. Kejayaan kali ini membolehkan skuad bimbingan Aminah Asaari menebus kekecewaan apabila sekadar bergelar naib juara pada edisi 2017 di belakang Singapura.

Pasukan Malaysia yang menjuarai Kejohanan Remaja Asia di Kashima, Jepun baru-baru ini

Kejohanan Remaja Asia 2019 merupakan kelayakan untuk menyertai Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia 2021 di Fiji. Malaysia layak mewakili Benua Asia di Kejohanan Remaja Dunia 2021 selepas mengesahkan tempat ke final. Sebelum aksi itu, Malaysia berjaya menempah slot ke final selepas menundukkan pasukan Sri Lanka dengan keputusan 72-54 di pusingan separuh akhir.

Manakala Singapura pula memastikan tiket ke final selepas menundukkan Hong Kong dengan keputusan 62-36. Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi kejohanan Remaja Asia sebanyak lima kali berturut-turut bermula pada 2004, 2006, 2008, 2010 dan 2013 manakala pada 2015 dan 2017, skuad negara bergelar naib juara.

Bagi Noor Azilah, minat mendalam dalam sukan bola jaring, komitmen tinggi semasa latihan dan pertandingan, dedikasi, disiplin serta tahap kecergasan fizikal dan mental yang baik merupakan faktor penting bagi memastikan beliau kekal bersaing dan menjadi aset penting negara di persada antarabangsa.

Biodata:

Nama : Noor Azilah Binti Aziz

Lahir : 9 Sept 1998 / Kluang , Johor

Pendidikan :

-Sekolah Rendah Kluang Barat 2005-2010

-SMK Tun Husseion Onn , Kluang 2011

-Sekolah Sukan Bukit Jalil 2012-2018

-UTM 2018

Mula penglibatan kebangsaan (2013-Kini)

 

 

 

 

 

Explore More