November 25, 2024

Search
Close this search box.

Pameran RCE Iskandar Sustainable & Low Carbon Schools Exhibition 2019 Cermin Usaha UTM Ke Arah SDG

JOHOR BAHRU, 15 Jul. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Pameran Sekolah Lestari dan Rendah Karbon RCE Iskandar 2019 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat karbon rendah dan matlamat pembangunan lestari (SDG) dalam kalangan pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti.

Program ini diadakan bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang bertempat di AEON Mall Bukit Indah, di sini hari ini.

Pengarah program, Prof. Madya Dr. Fatin Aliah Phang berkata program yang kali kelima diadakan ini adalah anjuran bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pusat Pendidikan Kejuruteraan (CEE) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama AEON Mall Bukit Indah Johor.

“Pameran ini bertujuan memberikan peluang kepada sekolah-sekolah yang berada dalam negeri Johor untuk mampamerkan usaha mereka dalam mewujudkan sekolah yang mampan dan rendah karbon serta untuk meningkatkan kesedaran masyarakat karbon rendah dan SDG sedari bangku sekolah lagi.

Selain itu, perkongsian ilmu mengenai SDG juga turut diadakan dalam bentuk ceramah antaranya oleh pensyarah UTM seperti Prof. Dr. Haslenda Hashim, Prof. Dr. M. Rafee Majid, Prof. Dr. Kasturi Devi Kanniah, Dr. Corrienna Abdul Talib dan Dr. Alina Wagiran serta wakil pelbagai jabatan yang menyahut agenda kelestarian,” katanya.

Tema-tema yang dibincangkan termasuk pengkomposan, masyarakat karbon rendah, kepelbagaian biologi, matlamat pembangunan lestari, kitar semula dan sebagainya.

“Terdapat juga pameran dari pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perusahaan sosial dan institut pengajian tinggi. Kesemua ini adalah percuma kepada pengunjung tanpa ada bayaran yang dikenakan,” katanya.

Sebanyak 21 buah sekolah telah menyertai pameran ini bagi menunjukkan kepada orang ramai mengenai aktiviti dan projek hijau yang dijalankan kepada orang ramai. Kesemua projek yang dipersembahkan telah dinilai oleh pakar pendidikan alam sekitar dari UTM, MBIP, SWM Environment Sdn. Bhd., IRDA, JPNJ dan IPG Temenggong Ibrahim.

Pameran tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Bukit Indah iaitu Yang Berbahagia Encik Chan Wei Khjan yang mewakili Datuk Bandar Iskandar Puteri, Yang Berhormat Dato’ Haji Adib Azhari Daud dan turut dihadiri oleh Prof. Dr. Kamarulnizam bin Abu Bakar selaku Pengerusi Smart Digital Community Research Alliance UTM, Penolong Pengarah Ko-Akademik, Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Tuan Hj. Azmi bin Abu, serta Mall Manager AEON Bukit Indah, En. Sean Ng Jui Hee.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Jaafar (SDJ) dari Johor Bahru telah mengungguli kategori Terbaik Keseluruhan (Best of the Best) bagi sekolah menengah dalam pameran Sekolah Lestari dan Rendah Karbon RCE Iskandar 2019.

Pemenang bagi kategori sama pula adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pulai bagi ketegori sekolah rendah. Kedua-dua pemenang membawa pulang hadiah berupa Piala Sekolah Terbaik, Sijil Penghargaan dan juga baucar makanan dari restoran ayam Nando’s.

Bagi kategori Anugerah Khas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pula telah dimenangi oleh SMK Kangkar Pulai manakala kategori sekolah rendah pula telah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Medini.

Kategori Pameran Terbaik pula menyaksikan SK Taman Suria tampil juara bagi sub-kategori sekolah rendah manakala SMK Taman Johor Jaya 2 pula muncul juara bagi sub-kategori sekolah menengah sekaligus membawa pulang hadiah Plak Kemenangan di samping Sijil Penghargaan dan juga baucar tajaan Restoran Nando’s.

Untuk kategori Poster Terbaik pula telah dimenangi oleh SJK(C) Tuan Poon manakala SMK Majidi Baru 2 pula muncul juara bagi sub-kategori sekolah menengah. Kedua-dua pemenang kategori ini membawa pulang hadiah Plak Kemenangan, Sijil Penghaargaan dan juga hadiah saguhati dari Restoran Ayam Nandos.

 

Pengerusi Smart Digital Community Research Alliance UTM, Prof. Dr. Kamarulnizam bin Abu Bakar
Ahli Majlis Bukit Indah, Yang Berbahagia Encik Chan Wei Khjan semasa memberi ucapan perasmian
Yang Berbahagia Encik Chan Wei Khjan merakamkan gambar bersama pemenang
Yang Berbahagia Encik Chan Wei Khjan merakamkan gambar bersama pemenang
Prof. Haslenda Hashim memberikan ceramah di pameran Sekolah Lestari dan Rendah Karbon RCE Iskandar 2019 yang berlangsung di AEON Mall, Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Antara pameran yang dibuka
Urusetia bergambar kenangan

 

 

 

 

Explore More