April 29, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 16 Mei — Seramai 47 orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kategori B40 telah menerima bantuan zakat dalam bentuk kewangan daripada Yayasan United Engineers Malaysia (UEM).

Bantuan kewangan sara diri yang berjumlah RM3,600.00 setahun ini adalah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat yayasan itu dengan pemilihan penerima adalah dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh UEM.

Pengetua Kolej Tunku Canselor, Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal Abdul Rahim yang mewakili UTM berkata universiti itu sememangnya sangat mengalu-alukan bantuan yang diberikan serta berharap bantuan sedemikian juga akan diperluaskan kepada lebih ramai pelajar.

“Bantuan sebegini akan membolehkan pelajar mengikuti pengajian dengan lebih tenang dan berfokus seterusnya mencapai kejayaan cemerlang.

Berdasarkan rekod, kita mempunyai hampir 6,000 orang pelajar dalam kategori B40,” katanya.

Prof. Sharul Kamal berkata UTM juga amat mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan dari pelbagai pihak bagi membolehkan universiti itu untuk terus membantu mahasiswanya yang memerlukan.

“Kami juga berharap sektor swasta dan industri dapat tampil dan terus menyokong dan membantu dalam apa jua cara untuk membolehkan pelajar UTM terus maju,” katanya lagi.

Menurut Prof. Shahrul lagi, pelbagai bentuk bantuan telah digerakkan oleh UTM untuk meringankan bebab mahasiswa kategori B40 ini.

“Antara usaha yang telah pun kami jalankan adalah Food Bank, Caring Cabinet, Suspended Meals dan Kupon Makan Because We Care Chancellor’s Fund di samping pemberian sedia ada seperti Biasiswa Endowmen, bantuan zakat dan juga bantuan khusus yang diperolehi melalui kerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya lagi.

Majlis Penyerahan sumbangan tersebut telah berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru dengan semua penerima menerima sumbangan masing- masing dari Pemegang Amanah Yayasan UEM, Roslan Abd Razak. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM, Aishah Nor.

Terima kasih UEM!

Dari kiri, Prof. Sharul Kamal, Roslan Abd. Razak dan Aishah Nor ketika menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima B40 UTM.
Penerima Bantuan Sara Diri UEM dari UTM bergambar kenangan bersama Roslan Abd. Razak dan Aishah Nor (berbaju hitam duduk barisan paling depan)

Explore More