November 14, 2024

Search
Close this search box.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui kursus Budi Penyayang, Pusat Akademik dan Pengalaman Pembelajaran (UTM CAEL), UTM iLeaGue telah menganjurkan program yang bertajuk ‘Sembang Pencinta Haiwan: Pemandulan Kucing – Apa Yang Anda Perlu Tahu?’ pada 5 Jun 2021.

Program kesedaran yang bersiaran langsung di laman rasmi Facebook Wira Kasseh Page secara dalam talian ini dianjurkan untuk mendidik masyarakat tentang kaedah pemandulan melalui proses pembedahan, salah satu alternatif kawalan populasi kucing yang bertujuan untuk menghalang keupayaan kucing tersebut membaik.

Kucing merupakan sejenis haiwan yang sangat senang membiak dengan purata sekurang-kurangnya tiga kali setahun dan sekiranya pembiakan ini tidak dibendung akan memberi kesan yang tidak kepada persekitaran terutamanya untuk kucing yang tidak mempunyai tuan iaitu kucing jalanan.

Oleh itu program ini dianjurkan bagi berkongsi ilmu dan pengalaman kepada masyarakat agar mendapat ilmu dan kesedaran pentingnya pemandulan terhadap kucing.

Panel jemputan pertama ialah Dr. Fuziaton Baharuddin, Doktor Veterinar dan Pensyarah Kanan dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan & Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Panel kedua pula ialah Dr.  Marlia Zulkapli, Doktor Veterinar dari MVE ISERV Sdn. Bhd. Panel ketiga ialah Encik Mohd Syakirin Saufan, Pengerusi Persatuan Pengkasihan Haiwan Terbiar Johor Bahru (Wira Kasseh JB). 

Sesi tersebut dikendalikan oleh Dr. Shazwin Mat Taib, Timbalan Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus, UTM selaku Moderator.

Menerusi sesi sembang tersebut, Dr. Fuziaton mengulas tentang bagaimana pemandulan kucing melibatkan aktiviti mengeluarkan organ-organ pembiakan penting dari kucing sekaligus menghentikan pembiakan kucing daripada terjadi.

Beliau juga menambah, sekiranya proses pemandulan dilakukan seawal 6-8 bulan, dorongan tabiat pembiakan yang dipengaruhi oleh hormon yang terlibat pada kucing-kucing ini tidak akan berlaku.

Panel kedua iaitu Dr. Marlia pula menambah kucing haruslah dikurung selama 4 hingga 7 hari selepas pembedahan untuk mengelakkan luka jahitan terbuka atau terkena infeksi, dengan pemantauan rapi dari pemilik.

Tambahan beliau lagi, suntikan mencegah kehamilan untuk kucing adalah tidak digalakkan kerana peratus kehamilan kucing yang terbabit masih tinggi.

Malah risiko yang dihadapi kucing ialah kehamilan yang tidak bertahan lama atau komplikasi pada anak kucing yang dilahirkan seperti kecacatan genetik.

Pengerusi Wira Kasseh JB, Encik Syakirin dalam sesi temu bual tersebut pula berkata, program pemandulan haruslah diwujudkan untuk mengawal populasi kucing terbiar.

Harapan beliau, sejak Wira Kasseh ditubuhkan, masyarakat perlu sedar akan kepentingan pemandulan kucing, bagi membolehkan penindasan terhadap kucing dapat dielakkan.

Salah seorang peserta program, Abqari Maisarah Ziq Zafri juga dalam komen beliau berharap pihak kerajaan atau pihak berwajib perlulah menyokong kuat usaha dan proses pemandulan kucing berskala besar yang dilihat mampu untuk mengurangkan impak negatif yang terhasil daripada jumlah kucing yang banyak yang mendorong kepada kes penderaan dan penyeksaan haiwan ini oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sesi Sembang Pencinta Haiwan yang bersiaran selama 3 jam tersebut turut mendapat 408 perkongsian dan 2,700 tontonan yang juga turut diselitkan dengan aktiviti kebajikan ‘1 Share, 1 Ringgit’ di mana setiap perkongsian siaran langsung oleh orang awam bagi majlis ini akan disumbangkan kepada Persatuan Pengkasihan Haiwan Terbiar Johor Bahru, Wira Kasseh JB untuk membiayai aktiviti kebajikan haiwan terbiar sekitar Skudai, Johor.

Program ini turut mendapat tajaan hadiah pakej pemandulan percuma kepada 25 penonton bertuah daripada 7 klinik swasta sekitar Johor iaitu Klinik Haiwan Dr. Ain, Klinik Haiwan Fortuna, Klinik Haiwan Vetmedic Petlover, Klinik Haiwan Anaqi, Klinik Haiwan Kota Takzim, Pet Paradise Clinic, Klinik Haiwan Pekan Nenas dan Simpang Renggam.

Selain itu, terdapat juga penonton-penonton bertuah yang berjaya mendapat hadiah berupa barangan keperluan dan aksesori kucing yang juga merupakan salah satu tarikan program.

Explore More