November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 2 Mei — Tiga orang pensyarah daripada Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM)  bersama-sama empat orang pelajar pascasiswazah telah menjalankan aktiviti rekreasi Matematik di Sekolah Kebangsaan Jeram Batu, Pekan Nenas sebagai satu usaha program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti sekitar UTM.

Program tersebut melibatkan 59 orang murid tahap dua SK Jeram Batu.

Jabatan Sains Matematik yang diketuai oleh Prof. Dr. Zuhaimy Ismail membawa pendekatan Math is fun melalui aplikasi permainan dalam komputer dan telefon bimbit.

Banyak aplikasi permainan pada hari ini secara kasarnya dilihat sekadar permainan ‘cuba nasib’ atau tekaan rawak seperti permainan Minesweeper, namun sebenarnya ilmu matematik merupakan asas terpenting untuk mengatur strategi yang sistematik dalam permainan tersebut.

Ilmu matematik yang dipelajari dari kecil, bukanlah sekadar pengiraan semata-mata, tetapi dalam jangka masa panjang akan membentuk kebolehan penyelesaian masalah dan pemikiran kritis dalam diri pelajar.

Puan Aini Selamat, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Jeram Batu, melahirkan rasa gembira melihat keterujaan murid-murid SK Jeram Batu ketika didedahkan dengan strategi Matematik menerusi permainan komputer.

Beliau berharap kolaborasi ilmu antara universiti dan pihak sekolah akan berterusan di masa akan datang.

Jabatan Sains Matematik dan Fakulti Sains UTM sangat komited dalam aktiviti pengembangan ilmu STEM di kalangan komuniti setempat dan amat berbesar hati untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.

 

Berita oleh,

Shazirawati Mohd Puzi, Shariffah Suhaila Syed Jamaludin, Syarifah Zyurina Nordin, dan Wan Rukaida Wan Abdullah.

 

Explore More