November 22, 2024

Search
Close this search box.

CAMERON HIGHLANDS, 2 Mei — Sekumpulan 10 orang penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Asan Ali Golam Hassan (Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, AHIBS, UTM Kuala Lumpur) telah berkunjung ke perkampungan Orang Asli di Pos Lemoi, Cameron Highlands, Pahang bagi menjalankan penyelidikan di bawah geran Fundamental Research Grant Scheme (FRGS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain Prof. Dr. Asan Ali, kumpulan penyelidik turut disertai oleh Prof. Madya Dr. Nanthakumar Loganathan dan Dr. Tan Sui Hong (AHIBS), Dr. Khairul Hisyam Kamarudin (FTIR) berserta pembantu penyelidik.

Penyelidikan yang bertajuk “Ekosistem Saradiri Sebagai Komponen Penting Kelestarian Hidup Masyarakat Orang Asli di Malaysia” dijalankan bertujuan mengukur dan menganggarkan jumlah pendapatan dan (seterusnya digunakan bagi menentukan) status dan kadar kemiskinan masyarakat Orang Asli dengan menggabungkan kesemua sumber pendapatan termasuklah yang bukan berbentuk wang sebagai hasil saradiri yang dinilai dalam bentuk wang berdasarkan harga di pasaran.

Projek penyelidikan ini unik kerana ianya bakal mengetengahkan pengiraan inklusif bagi kesemua komponen berbentuk wang dan juga bukan wang yang menyumbang kepada pendapatan isirumah Orang Asli yang tinggal jauh di kawasan pedalaman.

Dengan kata lain, kajian ini menggunapakai satu kaedah baharu pengukuran pendapatan dan kemiskinan yang lebih tepat berbanding kaedah sedia ada yang hanya mengambilkira pendapatan bulanan dan kemiskinan berdasarkan pendapatan bulanan yang diterima dalam bentuk wang oleh ahli isirumah.

Foto: Prof Asan Ali (dua dari kanan) berbual dengan Batin Zainal (kanan) menyatakan maksud kunjungan para penyelidik UTM ke Kampung Lemoi

Pengiraan pendapatan secara inklusif ini perlu dibuat memandangkan masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya bagi masyarakat Orang Asli, hasil dan pendapatan dari pekerjaan mereka bukan sahaja dalam bentuk wang tetapi juga dalam bentuk barang.

Oleh itu kaedah mengukur pendapatan isi rumah masyarakat Orang Asli yang berdasarkan pendapatan adalah tidak tepat kerana mereka juga mendapat hasil usaha sendiri yang bukan dalam bentuk wang tetapi mempunyai nilai dipasaran (dalam bentuk wang).

Oleh kerana pendapatan mereka yang subjektif, pendekatan mengukur kemiskinan dengan menggunakan kaedah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) juga adalah tidak sesuai untuk digunapakai.

Kaedah pengiraan ini juga berguna terutama bagi mengira jumlah pendapatan isirumah bagi komuniti yang tidak bekerja dengan sektor kerajaan atau swasta yang memperoleh gaji harian atau bulanan atau mereka yang bekerja sendiri dan hasilnya dikira dalam bentuk wang (output).

Untuk mencapai tujuan kajian ini, masyarakat Orang Asli daripada beberapa buah kampung di pedalaman negeri Pahang telah dikenal pasti termasuklah di Pos Lemoi, Cameron Highlands.

Justeru, kumpulan penyelidik UTM telah berkunjung ke Pos Lemoi pada 29 April hingga 2 Mei 2019 bagi bertemu dengan masyarakat Orang Asli di sana.

Foto: Sesi temubual dan kaji selidik isirumah Orang Asli sedang dijalankan oleh penyelidik UTM bertempat di rumah Batin Zainal

Setiap responden yang ditemubual turut dibekalkan dengan dua unit buku log iaitu (1) Buku Log Catatan Pendapatan dan; (2) Buku Log Catatan Perbelanjaan Isirumah, yang mana setiap ketua isirumah perlu membuat catatan dan menyenaraikan pendapatan harian mereka selama 30 hari berturut-turut yang meliputi kesemua  hasil yang mereka perolehi daripada hutan, sungai, kebun dan lain-lain pekerjaan yang dijalankan dengan diberikan nilai (dalam bentuk wang).

Pemberian nilai wang adalah bersifat subjektif dengan menekankan prinsip kesanggupan mereka menjual (willingness to sell) hasil-hasil tersebut baik kepada rakan mahupun kepada peniaga/peraih.

Foto: Kunjungan di Kampung Lemoi turut dimanfaatkan penyelidik UTM bagi menyantuni masyarakat Orang Asli disamping menyalurkan sumbangan

Selain menjalankan kajian dan pengumpulan maklumat, kunjungan ke Pos Lemoi juga turut dimanfaatkan oleh para penyelidik UTM untuk menyantuni masyarakat Orang Asli dengan mengagihkan bekalan makanan kepada setiap ketua isirumah.

Penglibatan dan interaksi para penyelidik muda dan pembantu penyelidik bersama masyarakat Orang Asli di sana juga diharap dapat membuka mata dan minda mereka mengenai kepentingan mewujudkan hubungan baik diantara institusi pendidikan seperti UTM dengan pihak komuniti selain menerapkan nilai-nilai murni kepada penyelidik.

Foto: Prof Asan Ali memberikan penerangan fungsi dan sistem vortex hidro elektrik kepada Senator Adrian Lasimbang (dari Sabah) yang berminat memperkenalkan teknologi yang sama untuk kawasan pedalaman di negeri Sabah pada masa hadapan

Pos Lemoi juga bukanlah sebuah kawasan yang asing kepada penyelidik UTM dimana pada tahun 2016 telah digerakkan projek pembinaan Vortex Hydro Elektrik yang pertama seumpamanya di Malaysia di Lemoi.

Projek penjanaan tenaga elektrik berskala kecil di luar bandar secara mampan dan berorientasikan komuniti ini telah diketuai sendiri oleh Prof. Dr. Asan Ali menerusi geran di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Manakala, kerja-kerja penyediaan tapak dan pembinaan fasiliti telah mendapat sokongan daripada para sukarelawan UTM, Pusat Jaringan Industri-Komuniti (CCIN-UTM) dan pelbagai agensi lain diperingkat negeri dan daerah serta badan bukan kerajaan.

Justeru, sesi kunjungan di perkampungan Orang Asli di Lemoi telah turut dimanfaatkan oleh kumpulan penyelidik untuk meninjau fasiliti Vortex serta mengadakan perbincangan bersama wakil komuniti bagi mengenal pasti aspek penambahbaikan pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan tersebut.

Dengan terlaksananya kajian lapangan dan libatsama para penyelidik bersama komuniti, adalah dijangka kajian ini berupaya merungkai kedudukan sebenar ekosistem saradiri masyarakat orang asli di  Pos Lemoi khususnya dan di Malaysia amnya, dan membuka ruang kepada kajian-kajian berimpak tinggi di masa akan datang.

Selain itu, kunjungan berkala ke perkampungan Orang Asli oleh pihak UTM juga turut mewujudkan hubungan baik dengan pihak komuniti dan memungkinkan lebih banyak kerjasama untuk manfaat bersama dilaksanakan pada masa hadapan.

 

Disediakan oleh

Dr. Khairul Hisyam Kamarudin, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, UTM Kuala Lumpur

Explore More