Disember 19, 2024

QSR Turut ‘Belanja’ Pizza kepada Pelajar yang Hadir

Pengurus Besar QSR Brands, Pn. Sharifah Musainah Syed Alwi berkongsi berkaitan QSR

JOHOR BAHRU, 25 Apr. — Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpeluang mencipta peluang kerjaya dan mendapat sokongan program pendidikan dan latihan dalam bidang-bidang berkaitan melalui program Gap Year di bawah QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands).

QSR Brands, sebuah syarikat pengeluar makanan bersepadu dan pengendali rangkaian restoran terbesar di rantau ini dengan lebih daripada 1,260 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja telah menyatakan komitmen untuk mewujudkan ruang seluas-luasnya bagi mahasiswa menjalani program tersebut.

Komitmen QSR Brands juga merangkumi penyediaan penempatan latihan industri kepada para mahasiswa dalam jurusan yang berkaitan dengan industri pengurusan restoran dan penawaran tempat untuk pembelajaran berasaskan ‘work based learning’.

Di samping itu, QSR Brands juga bersedia memberi peluang kepada anggota pekerja di restoran–restoran QSR Brands yang kompeten dan terlatih untuk memperoleh pengiktirafan profesional khusus untuk pembangunan kerjaya mereka dalam industri ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengurus Besar  QSR Brands, Puan Sharifah Musainah Syed Alwi dalam Sesi Jerayawara Gap Year 2019 yang berlangsung pada 23 April 2019 di UTM kampus Johor Bahru.

Sesi yang dihadiri oleh seramai 71 pelajar UTM ini turut menampilkan taklimat Pelaksanaan Program Gap Year oleh wakil Kementerian Pendidikan Malaysia, En. Gobbi Nathan A/L Jayaraman yang berkongsi panduan, peluang, bantuan dan pengalaman-pengalaman penyertaan pelajar yang telah menjalani Gap Year sebelum ini.

Panduan menyertai Gap Year oleh En. Gobbi dari Kementerian Pendidikan Malaysia

Pengurus Besar QSR Brands, Puan Sharifah Musainah Syed Alwi berkata kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia ini adalah salah satu daripada inisiatif tanggungjawab korporat untuk menyumbang dalam sektor pendidikan.

“Kami amat berbesar hati untuk menyertai kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan kerana ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kami dalam menyumbang kepada pembangunan sektor pendidikan di Malaysia.

Kerjasama ini juga memberi peluang kepada para pelajar untuk memperluaskan ilmu dengan pendedahan awal dalam industri pekerjaan melalui program Gap Year yang bakal dilaksanakan melalui kolaborasi ini,” katanya.

Tambah beliau kolaborasi ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada aspek bagaimana mahasiswa boleh menjenamakan diri masing-masing dalam meningkatkan kebolehpasaran mereka malah turut memberi peluang kepada QSR untuk terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam segmen perkhidmatan restoran terkemuka di Malaysia.

Antara pelajar yang hadir dalam sesi ini, Nurul Liyana Ahmad Jaffri menyatakan minat dan bercadang untuk mengikuti program ini terutamanya bersama QSR Brands.

“Kejutan oleh QSR Brands yang bermurah hati ‘belanja’ kami Pizza Hut dan voucher sangat menggembirakan kami yang hadir,” ujarnya lagi.

Pengarah program pelaksanaan sesi Jerayawara Gap Year UTM, Nor Khairena Khalid berkata sesi jerayawara ini sangat bermanfaat kepada semua peserta yang hadir memandangkan program Gap Year boleh memberikan pengalaman baru yang sangat berguna yang bakal memberi kelebihan kepada mahasiswa yang mengikutinya.

“CV bagi mereka yang menyertai Gap year pasti lebih bernilai berbanding orang lain,” tambahnya lagi.

Peserta dijamu Pizza Hut oleh QSR Brands selepas sesi jerayawara

Gap Year adalah inisiatif yang diperkenalkan di IPT Malaysia bermula September 2017.

Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menangguhkan pengajian untuk tempoh setahun atau dua (2) semester bagi mengikuti pelbagai aktiviti seperti kesukarelawanan, keusahawanan, pekerjaan dan mengembara dan terbuka kepada semua pelajar di mana mereka diberi kebebasan memilih bidang yang mereka minati.

Walau bagaimanapun, pelajar digalakkan untuk mengambil bahagian dalam Gap Year selepas menamatkan sesi akademik tahun pertama.

Melalui program ini, pelajar juga dapat meningkatkan kekendirian dalam kehidupan, kerjaya dan peranan mereka dalam masyarakat.

Pada masa yang sama, program Gap Year ini boleh memupuk dan menanam sikap bertanggungjawab, patriotisme, perpaduan dan penyayang di kalangan pelajar di samping dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Antara peserta yang hadir

Sesi Jerayawara 2019/2020 ini dilaksanakan di semua Universiti Awam bagi memberi penerangan kepada mahasiswa dan juga menggalakkan mahasiswa menyertai Gap Year.

Bagi peringkat UTM, sesi jerayawara ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan pasukan yang terdiri dari 10 pelajar dari Kolej Perdana yang diketuai oleh Nor Khairena Mohd Khalid selaku Pengarah Program.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latif, ahli jawatankuasa Gap Year UTM serta wakil-wakil fakulti di UTM.

Pasukan pelaksana sesi jerayawara UTM yang diketuai oleh Nur Khairena Mohd Khalid

Explore More