KUALA LUMPUR, 22 Apr. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Kursus Pemantapan Pengurusan Endowmen @ Wakaf 2019, Peringkat Kebangsaan, 22-23 April 2019, di Grand Petra, Royal Widad Residensi UTM Kuala Lumpur.
Kursus selama dua hari telah dihadiri oleh wakil dari sekolah, fakulti dan pusat tanggung jawab di UTM, serta wakil dari institusi pendidikan tinggi di negara ini dan masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurut Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon, kursus ini adalah penting dan signifikan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), iaitu institusi pendidikan di negara ini perlu menjana pendapatan sendiri melalui pelbagai sumber dalaman bagi menampung sebahagian bajet tahunan yang diperlukan.
Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk membantu peserta memperkasakan usaha penjanaan dan pengurusan dana endowmen @ wakaf di institusi masing-masing.
Majlis perasmian kursus ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Abd Halim Ali, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemegang Amanah Endowmen UTM.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Pengerusi Amcorp Properties, Puan Shalina Azman, pegawai-pegawai kanan UTM serta tetamu jemputan.
Dalam majlis perasmian tersebut turut berlangsung penyampaian Biasiswa Endowmen Azman Hashim kepada 21 orang pelajar baharu UTM, sesi akademik 2018/2019 oleh Puan Shalina Azman.