November 25, 2024

Search
Close this search box.

ICA UTM Pagoh Subur Minat Bercucuk Tanam Sedari Kecil kepada Kanak-kanak Tadika Al-Hidayah

PAGOH, 23 Apr. — Seramai 63 orang kana-kanak berusia 4 hingga 6 tahun dari Tadika Al-Hidayah Bukit Gambir diraikan dengan pengajaran ilmu penanaman sayuran organik apabila mereka mengadakan lawatan sambil belajar ke Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA) Universiti Teknologi Malaysia kampus Pagoh di sini.

Bahagian Tapak Semaian & Inventori, Unit Ladang ICA UTM Pagoh yang diketuai oleh Cik Suhir Sulaiman berbesar hati meraikan kehadiran warga tadika tersebut.

Seiring dengan memenuhi konsep pengembangan pertanian yang harus disampaikan kepada komuniti dalam pelbagai peringkat umur, ICA UTM Pagoh telah memberi penekanan dan usaha ke arah pendidikan kepada masyarakat mengenai teknologi pertanian terkini, selain memperkasakan tanaman pertanian organik.

Secara khususnya, objektif program ini adalah memberi pendidikan awal mengenai pentingnya pemakanan sayuran dan buah-buahan yang sihat dan selamat seterusnya mencapai dasar keselamatan dan keterjaminan makanan.

Selain itu, ia dapat memupuk budaya suka bercucuk tanam dengan kaedah pertanian organik.

Terdapat dua modul pembelajaran yang dijalankan iaitu secara teori dan amali.

Peserta cilik ini diberi peluang merasai suasana pembelajaran di dalam kelas kuliah dengan mendengar kelas teori tanaman yang dinamakan sebagai Modul 1: “Apa itu Sayuran Organik?” manakala, bagi sesi pembelajaran amali, peserta dibahagikan kepada 9 kumpulan dan mereka diajar kaedah menanam iaitu Modul 2 : “Jom Kita Menanam”.

Modul 2 ini pula lebih mendekatkan peserta – peserta cilik ini dengan sumber alam semulajadi seperti tanah dan anak pokok.

Program berakhir dengan jamuan jagung organik manis rebus, iaitu produk segar dari ladang UTM Pagoh.

Ibarat kata pepatah ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’, semoga dengan inisiatif Bahagian Tapak Semaian & Inventori, Unit Ladang ICA UTM Pagoh  ini dapat memberi ruang dan peluang kepada peserta – peserta untuk lebih bersemangat melaksanakan aktiviti pertanian pada masa akan datang.

Turut hadir bersama ialah ibu bapa kanak-kanak tersebut dan empat orang guru tadika.

Explore More