April 29, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 16 Apr. — Sebanyak 4,160 peluang pekerjaan dan latihan industri dalam pelbagai bidang disediakan kepada golongan pencari kerja dan juga siswazah tahun akhir dalam Karnival Kerjaya 2019 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dari jumlah tersebut, sebanyak 50 peratus peluang pekerjaan/latihan adalah dalam bidang kejuruteraan, 20 peratus dalam bidang pemasaran/pengurusan/sumber manusia/perakaunan, 16 peratus dalam bidang sains/matematik/hartanah dan selebihnya dalam bidang Teknologi Maklumat.

Pengarah Pusat Kerjaya UTM (UTMCC), Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim berkata program yang berlangsung selama dua hari ini adalah dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa dan disokong oleh industri.

“Lebih 70 buah syarikat telah menyertai pameran ini. Antaranya adalah nama-nama besar dalam bidang industri iaitu Micro Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd., Premier Plus Property Sdn. Bhd., YTL Construction (Malaysia) Sdn. Bhd., Schlumberger Malaysia dan Shimano Components (Malaysia) Sdn. Bhd.

“Tema penganjuran Karnival Kerjaya pada tahun ini adalah ‘Integrating Potential, Prospering the Future’ telah menyediakan landasan terbaik untuk pencari kerja dan juga mahasiswa tahun akhir menonjolkan potensi diri dalam memilih kerjaya yang sesuai,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Karnival Kerjaya 2019 yang berlangsung di Dewan Jamuan, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Johor, YB Tuan Dr. Ramakrishnan A/L Suppiah.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus dan Pengarah Program, Wan Alif Mustaqim Wan Hashim.
Penganjuran Karnival Kerjaya 2019 ini juga membolehkan golongan pencari kerja ini berpeluang untuk bertemu dengan bakal majikan pilihan mereka secara terus bagi bertanyakan mengenai prospek kerjaya di organisasi berkenaan di samping mendapatkan pengetahuan mengenai keperluan pekerjaan yang terkini.

Bagi para majikan pula, mereka juga berpeluang mencari calon pekerja yang berpotensi dan profesional di kalangan graduan baru UTM.

“Secara tidak langsung, program ini dapat membina hubungan yang rapat dan profesional diantara pihak universiti dan juga industri di dalam dan luar negara serta menyemarakkan semangat keduanya untuk terus berkolaborasi terutamanya dalam menubuhkan rangkaian strategik bagi kerjasama akan datang,” katanya.

Menurut Dr. Othman, pelbagai pengisian telah disusun bagi mendedahkan pelajar dengan keperluan terkini pasaran pekerjaan antaranya pameran kerjaya, temuduga terbuka, taklimat industri dan ceramah kerjaya.

“Melalui sesi ceramah kerjaya yang dianjurkan dengan kerjasama pihak industri, para pelajar diharap dapat lebih memahami kehendak pekerjaan yang dimahukan pada masa kini dan lebih bersedia untuk menempuh kehidupan sebagai pekerja di alam pekerjaan yang kian mencabar di luar sana,” katanya.

Selain pemeran dan ceramah kerjaya, UTM juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima syarikat swasta bagi membolehkan jalinan kerjasama dijalankan dalam pelbagai bidang.

Dari kiri Pengarah Program, Wan Alif Mustaqim Wan Hashim, YB Tuan Dr. Ramakrishnan A/L Suppiah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus dan Pengarah UTMCC, Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim sewaktu pelancaran Karnival Kerjaya UTM 2019 di Dewan Jamuan, UTM Johor Bahru.

Explore More