April 29, 2024

Search
Close this search box.

Tiga kajian kes telah dibincangkan dalam sesi Syarahan kursi yang bertajuk Tindakan Kelestarian : Menerajui Pembangunan Lestari Wilayah Pembangunan Iskandar yang berlangsung di Dewan Senat, UTM Johor Bahru pada 14 April 2019.

Ketiga-tiga kajian kes itu adalah mengenai Pembangunan Iskandar Malaysia sebagai satu usaha membangunkan wilayah perbandaran berteraskan konsep perbadanan diikuti kajian kes kedua iaitu inisiatif baharu dalam menyediakan dasar dan strategi pembangunan wilayah (lembangan) Sungai Johor yang diterajui oleh Johor Corporation manakala kajian kes ketiga pula berkait dengan rancangan pembangunan Mersing Geopark sejak awal 2017.

Penyandang semasa Kursi itu, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo dalam sesi syarahannya yang bertajuk Tindakan Kelestarian : Menerajui Pembangunan Lestari Wilayah Johor berkata beberapa kajian dan perkhidmatan akademik khusus telah dilaksanakan antaranya membangunkan Dasar Kelestarian Negeri Johor bersama kerajaan Johor, Kerangka Pengurusan Terintegrasi Sungai Sungai Johor bersama Jcorp dan pembangunan Mersing Geopark bersama Jabatan Mineral dan Geosains, Johor, Pejabat Daerah Mersing dan Majlis Daerah Mersing.

Menurut Prof. Ibrahim, kajian kes berkaitan dengan Pembangunan Iskandar Malaysia adalah kerjasama pintar kerajaan Johor dan kerajaan persekutuan bagi pembangunan metropolis antarabangsa secara lestari.

“Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) atau ringkasnya Iskandar Malaysia telah diwujudkan pada tahun 2006 dengan nama asal Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER).
“Kawasan seluas 2,217 kilometer persegi terletak di bahagian selatan negeri Johor meliputi Bandaraya Johor Bahru dan kawasan sekitarnya dengan cadangan perluasan wilayah meliputi Pontian, Kluang dan Kota Tinggi,” katanya.

Menurut Prof. Ibrahim, pembangunan Iskandar Malaysia mempunyai wawasan yang jelas iaitu mewujudkan sebuah wilayah perbandaran sebagai pilihan pertama untuk pelabur, pekerja, tempat bermastautin dan beriadah.

“Kita perlu melihat Iskandar Malaysia sebagai sebuah metropolis bertaraf antarabangsa dan penting sebagai pusat ekonomi dan penempatan bagi masyarakat Malaysia keseluruhannya.

“Dalam konteks ini, maksud komuniti berkepentingan ialah penduduk di wilayah Iskandar Malaysia, Bangsa Johor dan warga Malaysia,” katanya.

Iskandar Malaysia ialah wawasan pertumbuhan wilayah bagi mewujudkan bandaraya (metropolis) antarabangsa berdaya saing, pintar dan prihatin alam sekitar. Lima tindakan kelestarian yang telah dipelopori adalah Pengurusan Bencana, Perbandaran Antarabangsa, Teknologi Hijau, Prihatin Alam Sekitar dan Kesejahteraan Sosial Komuniti Setempat.

Prof. Ibrahim kemudiannya menyusuli syarahannya ke kajian kes kedua iaitu Pembangunan Wilayah Sungai Johor sambil menegaskan anak syarikat milik kerajaan Johor, Johor Corporation (Jcorp) telah diberikan mandat untuk menjayakan Titik Sentuhan Negeri Johor di bawah Program Kelestarian Negeri Johor 2017-2021 iaitu pemuliharaan hutan paya bakau Sungai Johor

“Sungai Johor sebagai sebuah lembangan unik telah mengalami pembagunan pesat dan sedang berhadapan dengan isu integriti alam sekitar.

“Oleh demikian, titik sentuhan ini berhasrat untuk mengembalikan semula keupayaan perkhidmatan alam sekitar, memulihara hutan paya bakau (laut) sambil membangun potensi industri pelancongan alam dan sejarah,” katanya.

Lembangan Sungai Johor mempunyai beberapa keistimewaan (nilai warisan) yang perlu dipulihara, diperkenalkan dan dibangunkan bagi faedah masyarakat awam khususnya komuniti setempat dan warga Malaysia.

“Bagi memastikan ekosistem wilayah ini terpulihara dan dibangunkan untuk faedah sejagat, kerajaan Johor berpendapat JCorp sebuah syarikat perniagaan milik penuh kerajaan negeri berupaya menjadi pemimpin pembangunan wilayah bagi mencapai wawasan pembangunan lestari,” katanya.

Pelan Pemuliharaan Bersepadu Sungai Johor (PPB-SJ) memberikan perhatian kepada empat komponen penting yang boleh memberikan impak ketara kepada ekosistem Sungai Johor, penggunaan sumber lestari dan penglibatan komuniti setempat.

Empat komponen tersebut adalah Pemuliharaan Hutan Bakau, Integriti Ekosistem dan Perkhidmatan Alam Sekitar, Penggunaan Lestari Sumber Asli dan Sosioekonomi Komuniti Setempat.

Kajian kes ketiga pula adalah Pembangunan Mersing Geopark diatas keunikan dan keistemewaan warisan geologi, biologi, budaya dan kearifan tempatan.

“Jawatankuasa Geopark Kebangsaan telah mengenal pasti daerah Mersing sebagai kawasan yang sesuai dibangunkan sebagai geopark.

“Pada awal 2017, sebuah Jawatankuasa Saintifik dan Pembangunan Mersing Geopark (JK-SPMG) telah diwujudkan melalui kerjasama Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) UTM, Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Johor,” katanya.

Dari segi fakta sejarahnya, bumi Mersing terbentuk di sasar laut sejak 350 juta tahun lepas dan sejak itu beberapa peristiwa geologi penting berlaku di wilayah Mersing kuno.

“Sekitar 300 juta tahun yang lampau bumi Mersing telah mengalami pengangkatan sehingga membentuk daratan.

“Ketika itu, seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak masih berada di bawah lautan menjadikan Mersing wilayah terawal membentuk daratan. Batuan sedimen daratan tertua ini dikenali sebagai Konglomerat Murau boleh dijumpai atau dilawati di tunggul laut Batu Chawang dan Tanjung Murau,” katanya.

Kedua-dua lokasi ini adalah geotapak (warisan tabii) penting sebagai bukti sejarah silam, perlu dipulihara dan sesuai dibangunkan sebagai lokasi geopelancongan.

Daerah Mersing juga mempunyai bukti sejarah berkenaan tentang letusan gunung berapi jutaan tahun lampau di mana ketika itu beberapa siri letusan ganas berlaku di daerah tersebut memuntahkan pelbagai jenis batuan volkano seperti aliran lava andesit-riollit, serpihan batuan akibat letusan (piroklas, breksia), endapan debu gunung berapi (tuf) dan jatuhan lava yang tercampak ke udara (bom volkano).

“Kesemua bukti letusan ini kini terawet baik di Mersing terutamanya di Tanjung Penyabung dan Pulau Sibu,” katanya.

Disebabkan peninggalan sejarah alam semulajadi yang amat tidak ternilai ini, sebanyak enam komponen transformasi ke arah kelestarian berkaitan dengan pembangunan Mersing Geopark iaitu Pendekatan Pengurusan Bersama, Pemuliharaan Warisan Terintegrasi, Penggunaan Sumber Asli Tanpa Musnah, Pembangunan Lestari Wilayah, Membangun Semangat Cintakan Wilayah dan Rasa Kepunyaan dan Pembangunan Ekonomi Setempat.

Sebelum menutup sesi syarahannya, Prof. Ibrahim berkata bahawa selepas 50 tahun warga global memperkenalkan wawasan Pembangunan Lestari, keadaan ketidaklestarian semakin meruncing dan mendesak.

“Kebanyakan warga dunia masih belum menyedari implikasi sebenar terhadap kehidupan dan tindakan kelestarian yang telah diambil masih terbatas dengan pembangunan lestari sehingga kini hanya tertumpu kepada tiga pendekatan sahaja,” katanya.

Tiga pendekatan yang dimaksudkan adalah Mewujudkan perjanjian antarabangsa, dasar dan pelan strategik kebangsaan, Bersetuju untuk mengukur status (SDI) dan menyediakan matlamat (SDG) serta Melaksanakan beberapa projek terfokus peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

Semua pendekatan ini berjaya meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan pada pelbagai peringkat pengurusan. Walaubagaimanapun, impak kepada tindakan kelestarian pada peringkat tempatan dan wilayah masih terbatas dan kurang menunjukkan kejayaan.

Tindakan kelestarian berasaskan Pembangunan Lestari Wilayah ternyata pendekatan paling berkesan dan pencapaiannya dapat diukur secara jangka sederhana dan panjang. Tindakan kelestarian pada suatu kawasan, daerah, lembangan atau wilayah lazimnya bersifat iltizam bawah-atas, mendapat sambutan pelbagai pihak berkepentingan, khususnya komuniti setempat dan mudah dilaksanakan secara berterusan.

Turut hadir dalam sesi syarahan ini adalah Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Datuk Dr. Wahid Omar dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Prof. Emiritus Ibrahim Komoo sewaktu memberikan syarahan di Dewan Senat, UTM Johor Bahru.

Explore More