Majlis Malam Kemuncak Gemstones Among K9&10 yang mendapat sambutan baik dengan jumlah sebanyak 135 tontonan telah berlangsung pada 28 Mei 2021 secara dalam talian di Facebook Live Kolej 9&10. Program ini dirasmikan oleh Dr. Mohamad Amir bin Shamsudin, Majlis Felo Kolej 9&10. Gemstones Among K9&10 merupakan program pencarian ‘hidden gems’ dalam kalangan penduduk Kolej 9&10 di samping menjadi platform untuk mahasiswa mempamerkan bakat masing-masing.
Program secara dalam talian ini telah menggantikan program tahunan bagi penduduk Kolej 9&10, iaitu Majlis Permata Gemilang (MPG) yang bertujuan menghargai sumbangan dan khidmat bakti serta prestasi cemerlang para mahasiswa dan mahasiswi.Sepanjang 15 April 2021 hingga 14 Mei 2021, terdapat dua kategori pertandingan telah dijalankan, iaitu pertandingan video dan pertandingan penulisan skrip. Pemenang pertandingan ditentukan melalui penilaian para panel, iaitu sebanyak 70% dan undian daripada warga kolej sebanyak 30% melalui jumlah sukaan dan kongsian di Facebook Kolej 9&10 serta Instagram Gemstones Among K9&10.
Acara kemuncak pada malam itu disempurnakan dengan penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan video dan pertandingan penulisan skrip. Selain itu, terdapat juga penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Kolej 9&10 pada Majlis Malam Kemuncak Gemstones Among K9&10 itu. Anugerah yang merangkumi e-Sijil dan hadiah wang tunai ini adalah sebagai tanda apresiasi terhadap mahasiswa dan mahasiswi di atas kejayaan mereka dalam mengekalkan pencapaian terbaik dari tahun 1 hingga tahun 4 yang telah membantu mengharumkan nama Kolej 9&10.
Soo Kai Huan dan Teoh Yee Jing telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kolej 9&10 dalam kategori akademik. Anugerah tersebut merupakan antara 5 jenis anugerah yang diberikan. Terdapat, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Kolej 9 & 10 dalam kategori sukan yang telah dinobatkan kepada Muhammad Amirul Azamuddin Bin Adam dan juga Nur Ain Binti Mustaffa. Anugerah Pelajar Terbaik Kolej 9 & 10 dalam kategori kepimpinan pula dinobatkan kepada Muhammad Izwan Bin Awang Satiah dan Lim Meng Kei.
Selain itu , pemenang bagi Anugerah Sukarelawan Pandemik Kolej 9&10, iaitu Amir Abdullah Bin Abdull Razak dan Wan Nur Irisha Binti Wan Isa. Anugerah ini adalah khas bagi pelajar yang telah menunjukkan sifat kesukarelawanan dalam usaha membantu penduduk Kolej 9&10 yang terjejas semasa tempoh pandemik Covid-19. Seterusnya, Kelab Bakti Siswa telah menerima Anugerah Kelab Terbaik di Bawah Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9&10. Kelab Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) telah menerima Anugerah Program Kelab Berimpak Tinggi Kolej 9&10.
Akhir kata, program Gemstones Among K9&10 anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej 9&10 ini telah berjaya mencapai objektif utamanya, iaitu mengiktiraf bakat terpendam para pelajar dengan menjadi platform untuk mengetengahkan bakat mereka di samping menunjukkan sokongan serta penghargaan pihak kolej terhadap para pelajar yang berani menunjukkan kebolehan diri. Selain itu, program ini turut diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada pelajar untuk mengaplikasikan keberanian dan keyakinan mereka sebagai seorang mahasiswa yang aktif sepanjang 4 tahun berada di universiti. Semoga anugerah yang diberikan sedikit sebanyak juga dapat memberi motivasi kepada para pelajar lain untuk memberi sumbangan dan menabur khidmat bakti terhadap pembangunan sosial Kolej 9&10.