November 22, 2024

Search
Close this search box.

Sekolah Pendidikan tumpu usaha menarik minat anak golongan B40 meminati STEM

Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam usaha menarik minat anak-anak golongan B40 meminati bidang STEM melalui penganjuran program Prihatin Bandaraya.

Program ini merupakan program bersiri anjuran MBJB dan diadakan di beberapa rumah pangsa dalam kawasan seliaan MBJB sepanjang tahun 2019 yang menyediakan aktiviti berasaskan STEM kepada komuniti.

Semua yang hadir ke booth STEM terutamanya anak-anak menunjukkan sikap dan minat terhadap aktiviti yang disediakan.

Malah, terdapat sebilangan besar anak-anak yang berkali-kali mengulangi aktiviti STEM yang ada tanpa jemu sehinggalah booth ditutup.

Anak-anak komuniti rumah pangsa ini begitu teruja dengan booth STEM yang dibuka dan turut mengharapkan supaya UTM akan mengadakan aktiviti seperti ini lagi pada masa akan datang.

Program Prihatin Bandaraya ini telah berlangsung pada 23 hb Februari 2019 (Sabtu) di rumah Pangsa Pinang 3 Taman Daya selama setengah hari bermula pada jam 7.30 pagi hingga 1.00 tengahari.

Selain booth STEM, senamrobik, ceramah kesedaran tentang denggi oleh Kementerian Kesihatan daerah Johor Bahru dan pelbagai pertandingan turut diadakan untuk memeriahkan lagi Program Prihatin Bandaraya anjuran MBJB ini.

Antara pertandingan yang dianjurkan seperti pertandingan mewarna, mini mural, sukaneka, congkak dan dam aji.

Ahli Majlis Taman Daya En Saifulanuar Yahya dan juga Syarikat Pengurus Bangunan Wijaya Sdn Bhd yang menyelia rumah pangsa juga turut serta dalam program ini.

Pada penutup program, Ahli Majlis turut memberikan sedikit cenderamata kepada penyelaras Program Pelajar Minat STEM Sekolah Pendidikan, UTM Pn Marlina Ali sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan.

Program libatsama komuniti yang dibuat oleh Sekolah Pendidikan kepada golongan B40 rumah pangsa ini menunjukkan sikap peduli UTM terhadap nasib anak-anak golongan B40.

Ini kerana kebanyakan program STEM yang dibuat diluar sana merupakan program berbayar.

Program ini juga boleh dijadikan suatu platform untuk mencetuskan minat anak-anak B40 mengambil jurusan Sains, dan seterusnya dapat meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir di Malaysia.

Usaha yang dibuat ini diharap dapat mengubah persepsi negatif mereka terhadap Sains dan mengisi masa lapang anak-anak dengan aktiviti berfaedah.

Program Prihatin Bandaraya yang dianjurkan ini diharap dapat membantu anak-anak rumah pangsa ini menjadi insan berjaya pada masa hadapan dan mengeluarkan mereka dari kepompong keluarga miskin bandar suatu hari nanti.

cof
sdr
sdr
cof

Nota: Program Pelajar Minat STEM-Prihatin Bandaraya kerjasama diantara Sekolah Pendidikan UTM dengan MBJB berikutnya akan diadakan pada 16 Mac di rumah pangsa Akasia dan 30 Mac di rumah pangsa Taman Desa Cemerlang. Untuk maklumat lanjut berkaitan program ini bolehlah menghubungi Puan Marlina Ali di talian 075534552 atau p-marlina@utm.my.

 

Explore More