Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sukan larian semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jelas sekali ia merupakan perkembangan yang sangat positif kerana masyarakat mula menyedari kepentingan bersenam.
Bagaikan enggan menerima fakta bergelar penduduk negara paling gemuk di Asia, usaha membudayakan senaman melalui larian semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak terkecuali juga sedang melalui fenomena yang sama di kalangan warganya.
Setiap petang dan hujung minggu hampir kesemua laluan tumpuan pelari sentiasa dipenuhi oleh bukan sahaja pelajar dan warga kampus malah masyarakat setempat yang tertarik dengan keindahan kampus dan elemen keselamatan yang ada di kampus UTM.
Antara laluan utama yang menjadi tumpuan pelari ialah Stadium Azman Hashim, Tasik Ilmu, Dusun UTM, Kluster Baru menuju ke Pintu Masuk Senai, Hutan Rekreasi ke Balai Cerapan dan laluan ke Taman Sri Pulai.
Antara daya tarikan utama pelari untuk beriadah di UTM sudah semestinya ciri-ciri keselamatan yang ada di kampus ini.
Selain dikawal rapi oleh pasukan keselamatan kampus, sikap bertimbang rasa para pemandu dan penunggang motosikal yang telah terbiasa memberikan keutamaan kepada pengayuh basikal dan pelari sebagai salah satu budaya pelestarian yang menjadi agenda besar di universiti ini.
Setiap bulan pula boleh dikatakan ada sahaja acara larian berbentuk perlumbaan dan larian amal dianjurkan di kampus universiti ini yang terletak di Skudai, Johor.
Pada tahun 2018 sahaja hampir 55 acara larian dianjurkan oleh pelbagai kelab, persatuan pelajar, fakulti dengan kerjasama badan amal, NGO, industri yang juga mendapat sambutan ribuan pelari.
Ada yang berlari untuk menang, mahu memperbaiki rekod peribadi, beriadah bersama keluarga, berkongsi kegembiraan berlari di media sosial dan berseronok sambil mengekalkan kecergasan.
Selain wadah yang menyihatkan, acara larian juga merupakan platform memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat menerusi penglibatan pelbagai kaum tanpa mengira batas agama dan bangsa.
Pengarah Pusat Kesihatan UTM, Dr. Nor’ashikin Sharif berkata amalan gaya hidup sihat seperti berlari merupakan salah satu aktiviti popular yang mesti dilakukan secara konsisten dan berterusan.
Walaubagaimanapun ia perlu disertai dengan pemakanan seimbang, aktiviti pemeriksaan kesihatan secara berkala, menjaga kebersihan, mendapat rehat yang cukup, menguruskan tekanan selain tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan kesihatan.
“Tahap kecerdasan fizikal dan mental yang baik penting untuk warga UTM untuk melaksanakan tugas harian dengan produktif dan menjalani kehidupan yang seimbang,” tambahnya lagi.
Budaya berlari di UTM ini juga melahirkan beberapa pasukan larian yang mewarnai laluan-laluan utama. LariSta umpamanya merupakan Kelab Larian UTM yg dicetuskan ideanya pada Jun 2014 dan ditubuhkan secara rasmi pada September 2015.
Dianggotai oleh pelbagai lapisan staf UTM, lelaki dan wanita.
Keahlian juga dibuka kepada peserta-peserta yg bukan dari UTM dan tiada yuran pendaftaran, mahupun keahlian yang dikenakan.
Ketua pasukannya Abd Harris Ismail yang ditemui ketika menyertai acara larian RUSH’19 baru-baru ini berkata sesiapa sahaja boleh turut serta untuk berlari bersama kami setiap petang bermula jam 5.30 hingga 6.30 petang, Ahad hingga Rabu, dan jam 9 malam pada hari Khamis iaitu 5 kali seminggu.
“Antara laluan pilihan pasukan ini di sekitar UTM ialah Tasik Ilmu, Tasik PKU, Gerbang Senai, Scholar’s Trail, Balai Cerap, Kolej Perdana, KTHO, KTR, KDSE dan KTC.” Katanya lagi.
Pasukan LARISTA dibarisi oleh staf UTM
RUSH’19 anjuran pelajar 5ETP (Teras Teknousahawanan) diadakan pada 1 Mac 2019 di Stadium Azman Hashim, UTM Johor Bahru berjaya menarik penyertaan seramai 450 pelari.
Selain pasukan Larista, pasukan pelajar 5ETP juga turut mewarnai acara ini. Larian sejauh 6 km yang bertujuan memupuk semangat perpaduan dan gaya hidup sihat itu dimenangi oleh pelari remaja jarak sederhana Johor iaitu Yazid Harith Syarul Anuar dengan catatan masa 21 minit 30 saat.
Beliau yang sedang membuat persiapan untuk menyertai Alor Setar Half Marathon pada 9 Mac 2019 nanti berkata beberapa perkara perlu diperbaiki dari segi penganjuran larian selain mencadangkan syarat warganegara sahaja untuk penyertaan pelari.