November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 26 Feb.  — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dipilih sebagai tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Biro Pendidikan Pencegahan Dadah di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Kelab Mahasiswa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) kali ke-9 bagi membincangkan usaha menangani isu penyalahgunaan dadah di kalangan mahasiswa universiti.

Sempena mesyuarat tersebut, sebuah bengkel Advanced Adventure Leadership (ADLEAD) telah diadakan dengan kehadiran wakil dari Kementerian Kesihatan, PEMADAM Kebangsaan dan universiti awam dari 25 hingga 26 Februari 2019.

Bengkel tersebut merupakan anjuran Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM dengan kerjasama Pusat Kaunseling UTM, PEMADAM Kebangsaan, PEMADAM Negeri Johor dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTM.

Satu taklimat berkaitan Universiti Bebas Alkohol juga telah disampaikan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Norli Abdul Jabbar sempena bengkel tersebut.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Pencegahan Dadah IPT dan Kelab Mahasiswa PEMADAM, Ybhg. Prof. Datuk Dr. Mohd Tajudin Bin Md. Ninggal berkata UTM sedang dalam perancangan untuk menjadi “Universiti Bebas Alkohol dan Dadah”.

Menurutnya, untuk mencapai matlamat itu, beberapa siri kempen sedang dirangka oleh PEMADAM dengan kerjasama Unit Kaunseling UTM dan Pejabat HEP.

“Sudah tiba masanya untuk semua IPT di Malaysia mewujudkan kampus bebas alkohol dan dadah sebagai signal bahawa universiti melarang keras penggunaan bahan-bahan terlarang tersebut.

Ini amat penting bagi melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan berdisiplin yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, deligasi tersebut telah mengadakan lawatan penanda aras terhadap perkhidmatan pencegahan dan pemulihan penyalahgunaan dadah ke Yayasan MENDAKI, sebuah pertubuhan pembangunan masyarakat Melayu / Muslim Singapura dan Singapore Anti-Narcotics Association (SANA) di Singapura pada 25 Februari 2019.

Lawatan ini bertujuan untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran berkaitan perkhidmatan pencegahan penyalahgunaan dan pemulihan dadah yang profesional dan berkesan dan boleh diaplikasikan terhadap mahasiswa khasnya dan golongan belia di Malaysia amnya.

Prof. Tajudin Ninggal sedang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Biro Pendidikan Pencegahan Dadah di IPT Kelab Mahasiswa PEMADAM kali ke-9 di UTM Johor Bahru.
Prof. Datuk Dr. Tajudin (kiri) semasa sesi lawatan ke Yayasan Mendaki

Explore More