November 22, 2024

Search
Close this search box.

KULAI, 15 Feb. — Seramai 20 orang  pelajar dari Persatuan Sahabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Universiti Teknologi Malaysia telah mengadakan program “Outreach School Programme” di Masjid Ar Rahman Taman Putri dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Ar Rahman Taman Putri (JMARTP) dan Sahabat YADIM Negeri Johor.

Program bimbingan dan khidmat masyarakat ini diadakan bertujuan untuk  memberikan gambaran bidang dan kerjaya kepada anak muda Taman Putri Kulai yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM.

Selain itu program ini turut berhasrat untuk mengumpulkan pemuda – pemudi ini untuk selesa mendekati masjid dengan menanamkan konsep memasyarakatkan masjid, iaitu masjid menjadi tempat berkumpul dan beraktiviti  bukan sekadar tempat ibadah khusus.

Program ini telah membantu anak muda yang sedang menunggu keputusan untuk memilih laluan kerjaya mereka pada masa hadapan serta memberi sokongan dan galakan untuk menyambung pengajian dalam bidang yang bersesuaian dengan minat masing-masing.

Menariknya ia turut memberi penerangan yang lebih jelas mengenai Islam kepada masyarakat yang  menganuti agama lain kerana program tersebut juga terbuka kepada pelajar daripada pelbagai agama untuk mendekati masjid dan melihat persekitaran masjid dengan lebih dekat.

Menurut pengerusi  Persatuan Sahabat YADIM Universiti Tekonologi  Malaysia (SYUTM), Ifirdaus Ithanin  kerja-kerja kesukarelawanan seperti ini adalah menjadi teras utama bagi pergerakan persatuan dalam melahirkan pemimpin masa hadapan yang beridealisme Islam dan berjiwa dakwah sekaligus selaras dengan keinginan negara untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang berkualiti dan memberi manfaat kepada Negara.

Selain itu, ia juga  menyokong agenda negara dalam menjadikan ‘universiti untuk masyarakat’ dan agenda universiti untuk memacu kecemerlangan pendidikan tinggi berpaksikan kemanusiaan.

“Diharapkan usaha kecil ini dapat memupuk minda yang baik dikalangan pelajar dalam menentukan hala tuju terbaik kehidupan mereka dan juga sekaligus dapat melahirkan semangat bersatu padu antara masyarakat.

Oleh itu, diharapkan atas semangat bersatu padu ini ianya dapat mewujudkan suasana yang  aman dan harmoni dalam kehidupan seharian.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti penerangan tentang perancangan masa depan serta perkongsian daripada mahasiswa mengenai kehidupan di universiti untuk merangsang pelajar dalam bersungguh-sungguh menuntut ilmu.

Aktviti team building juga turut diadakan bagi melatih pelajar untuk berfikir dengan betul dan mula menentukan hala tuju masa depan mereka.

Dalam aktiviti ini, mereka diterapkan nilai murni supaya sentiasa menghargai pengorbanan insan-insan di sekeliling yang membantu seperti ibu bapa, guru dan rakan.

-jelajah ipt, mengenali universiti di Malaysia serta bidang yg ditawarkan. Memahami lebih mendalam cara untuk memasuki ke institut pengajian yang diminati. Mengenal pasti biasiswa yg boleh dipohon semasa di universiti.

Imam eksekutif Masjid Ar Rahman Taman Putri, Ustaz Talhah Ajmain berkata, kesemua  peserta yang menyertai program tersebut amat gembira dengan input yang diperoleh dan lebih bersemangat dalam merancang masa depan yang terbaik bagi diri mereka.

Selain itu, ia juga mendapat respon yang positif daripada masyarakat setempat supaya program-program seperti ini dapat diadakan lagi dan dapat diperluaskan di tempat- tempat lain demi mewujudkan satu suasana yang harmoni dalam kehidupan berbilang bangsa.

“Peserta sangat gembira dapat bertemu rakan-rakan dari berlainan agama dan bangsa. Ini merupakan sesuatu yang istimewa bagi pihak masjid kerana dapat mengumpulkan mereka disini,” ujarnya lagi.

Pihak Sahabat YADIM sangat berpuas hati kerana objektif pelaksanaan program tercapai dan merancang akan memperluaskan lagi aktiviti seperti  ini di tempat-tempat lain.

 

Explore More