November 23, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dianugerahkan ‘Jobstreet Preferred University 2019′ oleh portal pencari kerja antarabangsa paling popular, JobStreet.com Januari lalu.

Ini menunjukkan graduan UTM merupakan bakal pekerja paling disukai oleh para majikan melalui portal tersebut.

Data kebolehpasaran graduan terkini daripada Pejabat Pengajian Prasiswazah UTM menunjukkan 90.37% daripada graduan UTM berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat konvokesyen pada tahun 2018.

Pengiktirafan ini turut menunjukkan program akademik yang ditawarkan di UTM serta graduan UTM diiktiraf di peringkat global kerana menjadi pilihan utama kepada majikan.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada pengiktirafan berbentuk sijil yang diberikan oleh pengendali portal tersebut kepada Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) pada bulan Januari 2019 yang lepas.

Pengarah UTMCC, Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim berkata fenomena graduan UTM menjadi pilihan majikan ini disedari berdasarkan dari analisis data yang didapati dalam tempoh dua hingga tiga tahun yang lepas.

“Dengan pengiktirafan ini, pihak Jobstreet.com bakal memberikan kita akses khas kepada portal mereka bagi kita menganalisa data-data mengenai kebolehpasaran kerja graduan UTM,” katanya.

Menurutnya lagi, akses yang bakal diberikan ini juga membolehkan kita untuk mengenalpasti bidang-bidang kerja yang sedang atau bakal diperlukan dalam industri tempatan dan juga antarabangsa.

“Selain daripada kebenaran untuk mengakses data-data pemohon kerja, UTM juga bakal mendapat manfaat dari akses yang diberikan oleh JobStreet itu.

“Manfaat itu adalah di samping mendapat peluang kerja untuk graduannya, UTM juga berpeluang untuk mendapat ruang bagi menghantar mahasiswa menjalani latihan praktikal yang sememangnya menjadi syarat untuk bergraduat,” katanya.

Selain ruang bagi graduan memperolehi kerja dan menjalani latihan praktikal, UTM juga boleh mengambil peluang ini untuk menjalinkan hubungan bagi tujuan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan pihak industri.

Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim memegang sijil pengiktirafan yang diberikan pihak JobStreet.com berkaitan dengan graduan UTM yang menjadi kegemaran majikan dalam portal berkenaan.

Explore More