November 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 27 Jan. — Bermula tahun 2019 pihak Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan bertindak dengan lebih agresif bagi mengumpul jumlah tabungan yang lebih banyak untuk faedah warga mahasiswanya.

Endowmen UTM juga telah menyusun beberapa pelan pengutipan yang lebih dinamik pada tahun ini untuk memastikan kutipan dilakukan dengan lebih tersusun dan juga sistematik.

Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon berkata pihaknya telah mengubah strategi pengutipan disebabkan ingin menambah jumlah kutipan berbanding yang sedia ada.

“Untuk tahun 2019 ini, kami telah merangka empat strategi bagi merangsang kutipan untuk tabung Endowmen UTM.

“Strategi tersebut adalah Meningkatkan Jualan Air Mineral, Menjual Buku Eco-Shift /buku Japanese Eco-Sophy, Pembukaan Pusat Terapi ‘Little Genius’ dan juga menganjurkan Kursus Pemantapan Pengurusan Endowment melibatkan UTM dan pihak luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh wartawan Hal Ehwal Korporat (HEK) di pejabatnya di Aras 4, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim.

Beliau berkata keempat-empat strategi ini adalah satu anjakan paradigma kepada Unit Endowmen di mana terdapat satu peralihan iaitu dari mengharapkan sumbangan dari staf dan juga pihak luar melalui potongan gaji dan kutipan tabung kepada aktiviti penjanaan dana secara aktif.

Strategi pertama ialah mempergiatkan penjualan Air mineral yang membawa lambang Endowmen UTM dengan harga RM1.00 sebotol iaitu lebih murah berbanding dengan air mineral yang dijual di luar.

Dr. Yusof berkata strategi kedua pula adalah melalui pembukaan Pusat Terapi ‘Little Genius’ yang dibuka pada awal Januari 2019. Pusat ini akan berfungsi ‘kaedah penjanaan dana’ selain dari memberikan khidmat terapi kepada kanak-kanak autisme.

“Pihak Endowmen juga akan mengadakan jualan buku ECO-SHIFT: Holistic Transformation Towards Environmental Substainability hasil karya Datuk Seri Dr. Zaini Ujang, mantan Naib Canselor UTM.

“Karya terbitan bersama UTM menerusi Unit Endowmen UTM dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang mengisahkan transformasi holistik ke arah kelestarian alam sekitar itu dijual dengan harga RM120 senaskhah,” katanya.

Dr. Yusof berkata buku itu telah dicetak sebanyak 1000 naskah sebelum ini tetapi telah habis terjual dan akan dicetak semula. Hasil jualan buku ini akan dimasukkan terus ke dalam Tabung Endowmen UTM bagi membantu para pelajar yang menghadapi masalah kewangan ketika menuntut di universiti itu.

Selain buku Eco-Shift, pihak Endowmen juga turut bercadang untuk menjual buku Japanese Eco-Sophy sebagai sebahagian dari inisiatif penjanaan untuk tabung itu.

Buku berkenaan adalah berkaitan dengan catatan mantan Naib Canselor UTM, Datuk Seri Zaini Ujang berkaitan dengan budaya dan masyarakat Jepun ini akan dilancarkan pada minggu ketiga bulan Februari 2019 oleh Duta Jepun ke Malaysia.

“Pada tahun ini pihak Endowmen UTM juga bercadang mahu menganjurkan kursus Pemantapan Pengurusan Endowmen@Wakaf bagi memberikan lebih pengetahuan kepada mana-mana staf berkenaan dengan pengurusan endowmen ataupun wakaf.

“Kursus ini kami bercadang untuk mengadakan pada bulan April 2019 di Royal Widad Residensi, UTM Kuala Lumpur dengan menampilkan penceramah jemputan yang berkepakaran dalam bidang endowmen seperti Datuk Seri Dr. Zaini Ujang, Pengarah Wazan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Razali Othman dan juga Pengurusan Masjid Bandar Baru Uda (BBU),” katanya.

Wazan UPM adalah sebuah organisasi di universiti tersebut yang bertanggungjawap untuk menguruskan endowmen dan wakaf bagi universiti itu.

Mengulas mengenai cadangan Endowmen UTM untuk mengadakan kerjasama berbentuk perniagaan yang menjana keuntungan yang lebih lumayan, Prof. Yusof menegaskan bahawa strategi yang direncanakan adalah dipastikan supaya bersifat tidak berisiko.

“Kita dipertanggungjawapkan untuk menjaga dana yang dijana melalui sumbangan oleh warga UTM dan juga orang ramai dan sekiranya kerjasama perniagaan yang kita jalankan menemui kegagalan maka kerugian yang dialami akan membabitkan wang amanah ini.

“Tidak dinafikan beberapa pihak dari luar telah menemui saya untuk membincangkan kerjasama bercorak perniagaan bagi tujuan mengisi tabungan endowmen ini tetapi saya terpaksa menolak kerana kebanyakannya ada mengandungi elemen-elemen risiko kerugian,”katanya.

Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon

Explore More