April 27, 2024

Search
Close this search box.

Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan UTM Hasilkan Dua Buah Buku Terbitan DBP

Selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030, Pensyarah Kanan dan Penyelidik dari Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Abdul Halim Abdullah, baru-baru ini berjaya menghasilkan dua buah buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Buku pertama beliau bertajuk “Kerja Mudah dengan Geometer’s Sketchpad 5”. Buku ini mengandungi penerangan mengenai salah satu perisian geometri dinamik yang kerap digunakan dalam pembelajaran Matematik iaitu perisian Geometer’s Sketchpad (GSP). Dalam sistem pendidikan di Malaysia, banyak topik Matematik yang sesuai diajar menggunakan perisian berkenaan. Di samping dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menarik, penggunaan perisian GSP mampu menjana daya kreativiti dan kemahiran berfikir pelajar. Buku ini turut mengandungi aktiviti-aktiviti pembelajaran Matematik berbentuk kontekstual yang mana perisian GSP dijadikan medium pelaksanaan aktiviti-aktiviti berbentuk hands-on tersebut. Pembelajaran kontekstual merujuk kepada pembelajaran yang mana pelajar dapat mengaplikasikan konsep Matematik yang dipelajari dalam situasi sebenar yang diterjemahkan dalam persekitaran perisian GSP.

Buku kedua pula bertajuk “Pembelajaran dan Pemikiran Geometri van Hiele”. Buku ini menerangkan aspek pemikiran geometri yang merupakan salah satu pemikiran yang penting dalam pembelajaran Matematik khususnya dalam bidang geometri. Penulis turut membincangkan mengenai salah satu model yang boleh dijadikan panduan dalam merangsang pemikiran geometri pelajar iaitu model van Hiele yang menerangkan secara terperinci dan sistematik mengenai tahap-tahap pemikiran tersebut. Buku ini merupakan kolaborasi penulisan antara Dr. Abdul Halim dengan Prof. Madya Dr. Effandi Zakaria yang merupakan pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semoga dengan terbitnya dua buah buku ini, dapat menyemarakkan budaya penerbitan seterusnya memperkayakan karya ilmiah dalam kalangan staf UTM.

Dr. Abdul Halim di Menara DBP di Kuala Lumpur

Explore More