November 26, 2024

Search
Close this search box.

KEMBOJA, 5 Nov. – Seramai 43 orang mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi telah mendekati komuniti masyarakat Kemboja dengan agenda murni untuk membantu mempertingkatkan kualiti kehidupan dan memberi nilai tambah kepada aktiviti penduduk di sini.

Program yang dinamakan “My Asean Community Initiative” telah diadakan bermula 30 Oktober sehingga 5 November 2018 bertempat di Kampung Sanchey, Wilayah Kratie.

Mahasiswa yang berada di tahun 4 program Sarjana Muda Pendidikan Kemahiran Hidup, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UTM ini telah menjalankan program tersebut dengan kerjasama Dynamic Paintball, Yayasan Amal Johor dan Kemboja Yayasan Charity Association.

Pensyarah Kanan dari Sekolah Pendidikan, Shahrin bin Hashim berkata program ini berkonsepkan program “Asnaf membantu Asnaf’, di mana mahasiswa terlibat secara aktif merancang dan melaksanakan beberapa projek yang merangkumi elemen khidmat komuniti, libatsama komuniti dan pembangunan komuniti.

Program tersebut merupakan satu projek untuk kursus Sosiologi dan Amalan Profesionalisme Pendidikan yang dipilih oleh pelajar sendiri sebagai lab komuniti mereka.

E:\DCIM\100D3100\DSC_0712.JPG
Mahasiswa UTM membina kandang lembu Fidlot.

Menurutnya lagi, program ini mencabar keupayaan mahasiswa untuk melaksanakan projek berimpak tinggi terutamanya membantu melaksanakan episod melaksanakan projek pembangunan sosioekonomi penduduk di situ dan bertujuan menghasilkan mahasiswa yang serba boleh.

Menggunakan metodologi Service Learning, program ini merupakan kesinambungan daripada program ‘Kembara Lestari Komuniti Kemboja 2.0′ yang telah dilaksanakan di kampung yang sama.

Pembinaan Kandang Lembu Fidlot

Mahasiswa UTM di sana telah membina kandang lembu fidlot dan turut melatih penduduk menyediakan silaj untuk makanan berkhasiat ternakan lembu mereka.

Projek tersebut yang menggunakan sistem memelihara lembu secara intensif menggunakan bioteknologi Effective Microorganism (EM), dapat membantu meningkatkan berat lembu pedaging dan kualiti daging yang lebih baik serta meningkatkan pendapatan yang tinggi kepada penduduk.

Mahasiswa UTM, dan rakan strategik program menjalankan aktiviti bersama.

Menurutnya lagi, proses pembinaan kandang lembu fidlot ini telah dilaksanakan bersama penduduk kampung dengan mahasiswa UTM terlibat merekabentuk, menasihat serta membinanya sehingga berfungsi dengan baik.

Wakil komuniti Sanchey, Sulaiman menyuarakan penghargaan kepada usaha murni ini.

“Melalui latihan dan pendidikan projek fidlot ini, komuniti dapat satu ilmu yang baru dan sangat berguna,” katanya.

Kaedah bio teknologi effective microorganism (EM) ini bukan sahaja dapat membantu penternak lembu malah ayam juga serta boleh berfungsi untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit yang menimbulkan kerisauan kepada penternak.

Kursus kepada penggunaan teknologi bio EM turut diberikan kepada penduduk sekali gus dapat dipraktikkan oleh mereka untuk menggunakan kaedah yang betul.

Pensyarah Kanan UTM, Shahrin Hashim berkongsi ilmu tentang effective microorganism (EM) dengan penduduk Kampung Sanchey.

Pembinaan Telaga

Pengarah program tersebut, Nurfatin berkata, telaga wakaf turut dibina oleh kumpulan pelajar tersebut.

“Program ini juga merupakan satu platform kepada orang awam, NGO dan syarikat di Malaysia untuk menyalur dan memberikan sumbangan.

Hasil daripada sumbangan tersebut, sebanyak 15 buah telaga telah diwakafkan kepada komuniti di kampung berhampiran yang memerlukan.

Sumbangan juga diberikan dalam pelbagai bentuk seperti infaq pendidikan dan projek sosio ekonomi, wakaf telaga dan tandas serta sumbangan kepada asnaf di Kemboja,” katanya.

Mahasiswa UTM, menyiapkan telaga wakaf

Perancangan Masa Hadapan

Sebelum meninggalkan bumi Kemboja, mahasiswa UTM ini juga telah berpeluang melawat sebuah kampung di pedalaman dan mendapati terdapat sebuah bangunan sekolah yang terbengkalai pembinaannya.

“Kami akan membantu meneruskan agenda pembinaan sekolah tersebut dalam edisi akan datang bersama Yayasan dan syarikat yang terlibat,” tambah Nurfatin.

Seorang lagi wakil kampung tersebut, Syarifah amat berharap agar suatu hari nanti sebuah bangunan sekolah yang lebih baik dapat dibina agar anak-anak dan generasi akan datang di sana akan mendapat pendidikan yang sempurna.

Kawasan di sekitar kampung Bilbang, Daerah Kratie, Kemboja

Program ini telah memberi impak baik dari segi pembangunan sosio-ekonomi dan pendidikan kepada penduduk dan melalui program sebegini juga memberi peluang kepada mahasiswa UTM untuk mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari di universiti untuk diberikan kepada komuniti.

Program ini juga telah membangunkan potensi setiap mahasiswa dari segi pemikiran kreatif, inovatif, entreprenurial dan global serta mampu menjadi contoh kepada mahasiswa lain di UTM dan Universiti Awam di Malaysia.

Explore More